Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ini mungkin Japanese Club Batu Pahat 1930 yang 'hilang' itu

ULASAN | Melintasi Jalan Shahbandar, Bandar Penggaram, Batu Pahat, kita akan melihat pemandangan Sungai Batu Pahat (dicatat Tome Pires sebagai Rio Fermoso), jeti kastam, pejabat Laut Batu Pahat, kunci air Parit Soga serta kesibukan peniaga pelbagai bangsa di bangunan kedai ala kolonial, bangunan kedai baru dan pasar awam.

Sementara, malangnya, menara jam pasar yang dibina pada tahun 1960-an telah diruntuhkan atas alasan memberi laluan kepada pembinaan semula bangunan baru.

Kerancakan ekonomi Bandar Penggaram, Batu Pahat dipercayai bermula selepas pembukaan secara rasmi bandar itu oleh wakil raja memerintah Batu Pahat, Dato Bentara Luar Mohd Salleh Perang pada 1 Januari 1894.

Namun, tanpa disedari terdapat sebuah bangunan batu tiga tingkat yang berada di persimpangan Jalan Shahbandar dan Jalan Engan (koordinat bangunan: 1.849368, 102.924916).

Ia rupanya sangat penting dan berkait rapat dengan kepentingan negara Jepun di Tanah Melayu sebelum perang dunia kedua (1941-45).

Di sinilah berdiri megah "Japanese Club" pada tahun 1930 seperti direkod penyajak Jepun terkenal iaitu Kaneko Mitsuharu (1895-1975).

Menurut pekedai yang ditemuramah di sini, ramai orang Jepun sering melawat bangunan ini. Namun, tiada satu papan tanda menunjukkan bangunan ini pernah dihuni oleh pedagang Jepun.

Rekod kehadiran Kaneko Mitsuharu ke Japanese Club dicatat oleh Junko Tomaru dalam bukunya bertajuk The Postwar Rapprochement of Malaya and Japan, 1945-61: the Roles of Britain and Japan in South-East Asia yang diterbitkan pada tahun 2000, dalam muka surat 1 seperti berikut:

"Kaneko Mitsuharu, a Japanese poet, visited British Malaya in 1930, staying for a while at the Japanese Club in Batu Pahat, Johore as a base for visiting Japanese rubber plantation and iron mines in the vicinity. Writing about the population growth encouraged by the developement of Japanese-own plantation since the early 1910s,he observed that what had once been a tiny settlement with only a few house now had a population of some 40,000, 80 per cent of it oversea Chinese and including some 450 Japanese nationals."

Fakta ini menguatkan tulisan saya bertajuk "Batu Pahat kurun ke-20: 'Arigato', Jepun" yang disiar Malaysiakini pada 24 Februari 2018.

Ya atau tidak?

Saya telah menyenaraikan kewujudan lombong bijih besi diusahakan Ishara Sujikaisa Mining Company (kini menjadi Taman Botani Johor, Sri Medan) dan ladang getah N Akuzawa membuka Batu Pahat Rubber Estate No 1 pada Mac 1909 dan Batu Pahat Rubber Estate No 2 pada Ogos 1911.

Adakah kita telah temui Japanese Club Batu Pahat 1930? Jawapannya boleh jadi "ya" atau "tidak".

Saya rasa "ya" ditemui kerana lokasi bangunan ini sangat sesuai di mana ferry (custom station) dan concrete wharf no 1 berada di hadapan bangunan ini pada tahun 1930.

Dengan membandingkan lokasi terkini bangunan dipercayai Japanese Club (dua kali melawat lokasi) dengan peta "Batu Pahat: (Bandar Penggaram), Plan of town/compiled and drawn by inter-topographical Dept bersumber National Library of Australia disiar War Office 1943(from F. M. S. Survey Dated 1930), jelas bangunan yang dilawati Kaneko Mitsuharu masih wujud.

Tetapi sedihnya tiada tanda ia penting ketika ini.

Saya sempat meninjau pemandangan dari tingkat dua salah satu kedai bersama ahli Majlis Perbandaran Batu Pahat, Malikfaisal Dato Ahmad.

Saya dapati terdapat keperluan terhadap pembersihan sisa rumah, sisa najis burung dan terdapat tanda penternakan burung walit haram.

Kelihatan bekas jeti penambang di seberang sungai (kawasan Peserai) terus usang. Agaknya tentu sibuk pelabuhan Bandar Penggaram pada masa lampau.

Jawapan alternatif ialah "tidak" ditemui.

Saya meramalkan Kaneko Mitsuharu ada melukis bangunan Japanese Club Batu Pahat dan apa sahaja yang ditemui semasa lawatan ke lombong bjih besi Seri Medan dan ladang getah di Batu Pahat pada tahun 1930.

Setakat ini belum ditemui lagi lukisan beliau.

Tetapi dengan menjalin hubungan baik dengan kedutaan besar Jepun ke Malaysia, yang dijangka akan melawat bangunan ini dalam rangka lawatan yang diaturkan Dr Nor Azizi Yusoff dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada November 2018, kemungkinan banyak lagi sumbangan Jepun terhadap ekonomi Johor, khususnya di Batu Pahat dapat dirungkai.

Dalam lawatan tersebut, duta Jepun dijangka menyampaikan ucapan penting di UTHM Kampus Parit Raja dan Kampus Pagoh selain diatur lawatan ke lokasi Parit Sulong Massacre pada 23 Januari 1942 dan Rumah Api Bukit Segenting, Minyak Beku yang dihadiahkan Jepun pada tahun 1976.

Reput tanpa 'pembelaan'

Kesimpulannya, pegawai daerah Batu Pahat, Jabatan Warisan Negara, Yayasan Warisan Johor.

Majlis Perbandaran Batu Pahat, anggota parlimen, anggota Dewan Undangan Negeri, Persatuan Sejarah Malaysia Batu Pahat, Arkib Negara cawangan Johor dan penghulu perlu turun padang meninjau Bangunan Japanese Club Batu Pahat ini kerana ia sejak sekian lama terpinggir.

Lokasinya sangat strategik. Jalan Penggaram, Sungai Penggaram berada tidak jauh dari bangunan ini semakin dilupai sejarah hebatnya sejak 1894.

Jeti penambang pun dah lama reput dan tiada “pembelaan”.

Jika selama ini ramai orang Batu Pahat dimomokkan dengan kekejaman Jepun di era perang dunia kedua bermula 1942 sehingga 1945 semata-mata, kita kena akui bahawa Jepun sebenarnya turut menyumbang kepada ekonomi Batu Pahat, khususnya antara tahun 1918 sehingga perang dunia kedua.

Hubungan istana Johor dan istana maharaja Jepun juga akrab.

Almarhum Sultan Abu Bakar menerima bintang dari Maharaja Meiji pada tahun 1870-an.

Menurut Facebook JOHOR Southern Tigers yang disiarkan pada 27 Jun 2017 bertajuk “Sejarah Negeri Johor: Lawatan Sultan Sir Ibrahim ke negara-negara Timur”:

“Sultan Sir Ibrahim juga sering mengadakan lawatan ke Jepun untuk meningkatkan hubungan perniagaan. Semasa melawat Bandar Kobe, baginda telah bertemu dengan wakil syarikat yang menjalankan perlombongan bijih besi yang menjalankan aktiviti di Johor. Baginda juga turut melawat bandar-bandar utama Jepun seperti Tokyo, Yokohama, Kyoto, Nagoya dan Nagasaki.

Lawatan Sultan Sir Ibrahim ini telah memperkukuhkan hubungan baik antara Johor dan Jepun, 50 tahun selepas Sultan Abu Bakar bertemu dengan Maharaja Meiji. Hasil hubungan baik ini, banyak syarikat dan ahli perniagaan Jepun yang datang melabur ke negeri Johor.”

Perlombongan bijih besi di Johor pada era itu tentunya di Sri Medan di mana Kaneko Mitsuharu mengesahkan kepentingan ekonomi berasaskan getah dan lombong bijih besi semasa lawatan pada 1930.

Sebagai pengkaji sejarah yang “menemui” dacing Raja Bandar Maharani, patik memohon DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membantu “mengambil” peta Bandar Penggaram 1894 dan Bandar Maharani 1887 sama ada daripada simpanan National Archives Of Singapore atau sumber luar negara lain.

Peta lama sangat berguna dan ia banyak membantu merungkai sejarah sepanjang zaman.


MOHD AZLAN MOHD SHARIF ialah pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat.

Tulisan ini tidak semestinya pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS