mk-logo
Berita
Kerajaan pantau kontraktor Ali Baba di S'wak
Diterbitkan:  Oct 6, 2018 6:26 PM
Dikemaskini: 10:29 AM

Kementerian Kerja Raya akan menubuhkan Unit Pengawasan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Jabatan Kerja Raya Sarawak dalam usaha membendung amalan “Ali Baba” dalam kalangan kontraktor Bumiputera di negeri ini.

Menterinya, Baru Bian berkata cadangan unit itu akan membantu kementeriannya memperoleh maklumat mengenai sebarang amalan salah laku berhubung pemberian tender kerajaan di negeri ini.

"Saya amat mengambil berat dan kementerian saya mahu membantu kontraktor Bumiputera di negara ini tetapi banyak masalah disebabkan sistem berkenaan disalah guna. Mengikut maklum balas, amalan “Ali Baba” menjadi satu kebiasaan dan bukan sahaja berlaku di Sarawak,” katanya pada persidangan media selepas sesi dialog dengan 31 kontraktor Bumiputera Sarawak di pusat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Kuching hari ini.

Pada dialog berkenaan beliau berkata, turut dicadangkan agar kontraktor Bumiputera yang diberi tender kerajaan perlu menandatangani akujanji tidak akan memindahkan kontrak mereka kepada kontraktor bukan Bumiputera atau jika terbukti berlaku kontraktor Bumiputera berkenaan akan disenarai hitam di Sarawak.

Bebas kenaikan tol

Mengenai pelaksanaan tol di lebuh raya di semenanjung, Baru berkata kementerian akan melihat dari pelbagai alternatif kepada pengguna jalan raya dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi, termasuk berbincang dengan pemegang saham mengenai rebat tol, kurangkan tol atau bebas kenaikan tol bagi mengurangkan beban orang ramai.

"Kami akan mempertimbang semua pilihan ini dengan pihak konsesi dalam dua atau tiga bulan lagi,” kata Baru bagi menjelaskan laporan berita dalam portal baharu-baharu ini yang memetik beliau sebagai berkata bahawa keputusan berhubung pemansuhan tol akan diketahui dalam dua atau tiga bulan lagi.

Beliau berkata, pemansuhan tol tidak mungkin pada masa ini dan kabinet telah membuat keputusan bahawa perkara itu akan ditangguh sehingga keadaan ekonomi negara pulih.

Baru, yang juga pengerusi PKR Sarawak, berkata Sarawak adalah antara negeri akan mengundi pada 10 November bagi pemilihan parti, yang menyaksikan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menang tanpa bertanding sebagai Presiden PKR.

“Semua diberi peluang untuk berkempen secara terbuka dan saya juga tidak menghalang sesiapa pun untuk datang berkempen di sini. Ini adalah demokrasi,” katanya.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam tentang perlunya satu mekanisme untuk dana parti politik, beliau berkata satu perundangan dan garis panduan sesuai yang dicadangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis sosial akan dipertimbangkan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS