Berita Malaysiakini

SIS bengang pelacur 'otai' kena sebat

Diterbitkan  |  Dikemaskini

NGO hak wanita, Sisters in Islam (SIS) menyatakan rasa kesal terhadap satu lagi hukuman sebat terhadap seorang wanita yang mengaku bersalah atas tuduhan melakukan persediaan melacurkan diri di Kuala Terengganu semalam cukup mengejutkan.

"Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan rotan dan mengarahkan wanita berkenaan menjalani pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan di Sabak Bernam, Selangor.

"Sisters in Islam (SIS) bengang dengan hukuman yang dijatuhkan terhadap janda berusia 45 tahun itu," kata Pengurus Komunikasinya, Majidah Hashim dalam suatu kenyataan hari ini.

Wanita yang pernah berkahwin sebanyak dua kali itu digelar sebagai 'pelacur otai' dalam kebanyakan laporan media didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Kuala Terengganu bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, pada kira-kira pukul 11.45 malam 19 September lalu.

Tertuduh yang tidak mempunyai anak itu didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan tersebut.

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail yang memberikan penghakiman itu memerintahkan hukuman empat sebatan itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang, Selangor.

Bagaimanapun, SIS mempersoalkan bagaimana Penjara Wanita Kajang yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) boleh menjalankan hukuman mahkamah syariah dari Terengganu.

Moratorium hukuman sebat

"Kami khuatir Mahkamah Tinggi Syariah di Terengganu secara sewenang-wenangnya memerintahkan hukuman untuk dilaksanakan di negeri lain yang sama sekali tidak berkaitan dengan kes itu.

"Turut membimbangkan bagaimana Jabatan Penjara, yang terikat kepada Kementerian Dalam Negeri dan undang-undang persekutuan, membolehkan tindakan ini berlaku kepada wanita," kata Majidah.

SIS juga mengulang gesaan untuk kerajaan melaksanakan moratorium bagi menangguhkan semua hukuman sebat sivil dan syariah.

"Cukup jelas hukuman sebat dalam apa jua bentuk merupakan pelanggaran hak asasi manusia.

SIS juga mendakwa semua hukuman sebat di mahkamah syariah di Terengganu sejak Ogos tahun lalu hanya dikenakan terhadap wanita.

"...khususnya daripada golongan minoriti dan mereka yang dalam kemiskinan.

"Ini secara terang-terangan berlawanan dengan arahan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bagi menegakkan dasar Islam rahmatan lil alamin (membawa rahmat untuk sekalian alam)," katanya lagi.

Sara hidup sebatang kara

Hakim syariah Kamalruazmi dalam penghakimannya semalam turut menasihati wanita berkenaan supaya menerima hukuman yang dijatuhkan untuk memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat.

"Pemulihan boleh dibuat ke atas kamu...mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain bahawa perkara yang dibuat ini adalah salah dan tidak akan dibuat pada masa akan datang,” katanya.

Peguam syarie, Fazru Anuar Yusof, yang mewakil tertuduh dalam rayuannya pula berkata wanita terbabit hidup ibarat sebatang kara sejak berpisah dengan suaminya setahun lalu dan perlu menyara hidupnya sendiri.

Wanita itu dilaporkan menerima bayaran untuk setiap perkhidmatan antara RM200 hingga RM1,000 dan memperoleh pelanggan menerusi cara komunikasi dalam talian.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah.