Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Janda tawar khidmat seks dihukum 4 sebatan
Diterbitkan:  Oct 10, 2018 3:27 PM
Dikemaskini: 7:32 AM

“Kamu telah berusia 45 tahun. Tidak sepatutnya kamu terlibat dengan kesalahan begini. Kamu sepatutnya telah matang dan boleh berfikir mana yang baik dan mana yang buruk. Mana yang halal, mana yang haram dan berdosa.”

Demikian kata Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail ketika penghakiman terhadap seorang janda yang mengaku bersalah atas tuduhan persediaan untuk melacurkan diri.

Bagi kesalahan itu Kamalruazmi menjatuhkan hukuman empat kali sebatan dan tertuduh akan dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor bermula hari ini selama enam bulan.

Katanya, hukuman sebat akan dijalankan di Penjara Wanita Kajang selepas tempoh rayuan selama 14 hari selesai manakala kos sepanjang tempoh pemulihan di pusat perlindungan tersebut akan ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu.

“Tertuduh lahir di Johor tetapi tinggal di Klang, Selangor. Ketika prosiding lalu ketika ditanya mahkamah kenapa kamu datang ke sini (Kuala Terengganu), kamu memberitahu datang semata-mata untuk membuat servis urut dan perkhidmatan seks.

"Bermakna kamu datang ke sini adalah semata-mata untuk perkara tersebut,” katanya.

Pusat tahanan khas

Wanita yang pernah berkahwin sebanyak dua kali tetapi tidak mempunyai anak itu, didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah hotel di Kuala Terengganu bersama seorang lelaki dipercayai pelanggannya, pada kira-kira pukul 11.45 malam 19 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Dalam penghakiman itu juga, Kamalruazmi sempat menasihati wanita itu supaya tidak lagi melakukan kesalahan itu dan menerima bahawa hukuman yang dijatuhkan untuk memberi pengajaran kepadanya dan masyarakat.

“Kes sebegini biasanya ada rangkaian dan satu tempat tahanan adalah amat perlu untuk tujuan menyekat gangguan daripada mana-mana pihak.

"Pemulihan boleh dibuat ke atas kamu...mudah-mudahan hukuman ini menjadi pengajaran kepada kamu dan orang lain bahawa perkara yang dibuat ini adalah salah dan tidak akan dibuat pada masa akan datang,” katanya.

Ketika prosiding itu, Kamalruazmi sempat mencadangkan supaya sebuah pusat tahanan khas dibina ataupun menyediakan tempat tahanan khusus di penjara yang sama bagi mengasingkan antara pesalah sivil dan syariah kerana pendekatan pemulihan adalah berbeza.

Ditahan di penjara tiada penjamin

Sementara itu, sebelum bermula prosiding wanita yang memakai baju t-shirt berlengan panjang, skirt labuh dan bertudung itu menangis teresak-esak selepas melihat seorang ahli keluarganya hadir kerana sejak ditangkap tiada seorang pun yang tampil hingga beliau terpaksa ditahan di penjara kerana tiada penjamin.

Berdasarkan rayuan yang dikemukakan peguam syarie, Fazru Anuar Yusof, yang mewakilinya, tertuduh bagaikan sebatang kara sejak berpisah dengan suaminya setahun lalu dan perlu menyara hidupnya sendiri.

Wanita itu dilaporkan menerima bayaran untuk setiap perkhidmatan antara RM200 hingga RM1,000 dan memperoleh pelanggan menerusi online.

Pendakwaan dilakukan Pendakwa Syarie, Mohd Kahzmizan Abdullah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS