Berita Malaysiakini

Hapuskan tol: Dulu memekik, hari ini apa cerita?

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas kerajaan Pakatan Harapan yang seolah-olah tidak mahu menunaikan janji manifesto mereka untuk menghapuskan kutipan tol di seluruh negara.

“Dulu sebelum jadi kerajaan, janji hapus tol. Siap kata kerajaan cuma perlu berapa ringgit je untuk buat sedemikian.

“Putar belit setiap hari padahal dia yang beri konsesi berat sebelah. Tapi kerajaan BN dan saya Najib Razak yang dipersalahkan, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Sambil menyindir pemimpin HARAPAN yang menurutnya sering 'memekik' menurutnya, hari ini lain pula cerita mereka.

"Bukan main memekik sampai buat video dan poster berjuta-juta orang 'like' dan tonton. Hari ini, apa cerita?” soal Najib.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika bercakap kepada Bernama dan RTM pada akhir Perhimpunan Pemimpin-pemimpin ASEAN di Bali, semalam, berkata pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Mahathir juga mengakui bahawa beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto HARAPAN. Malah, katanya, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Sebulan sebelum pilihan raya umum 9 Mei, Mahathir, yang juga adalah pengerusi HARAPAN, dilaporkan berkata bahawa jika gabungan pembangkang membentuk kerajaan, mereka akan menamatkan kutipan tol di seluruh negara secara berperingkat.

Katanya, satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol.

Mengulas lanjut, bekas perdana menteri itu mendakwa, apa yang berlaku kini disebabkan janji yang tidak ikhlas untuk rakyat dan dilakukan semata-mata kerana tamakkan kuasa.

“Hari ini dah jadi kerajaan, baru cakap mustahil lebuhraya tanpa tol,” kata Najib.