Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Sentimen lantikan politik universiti terlalu picis'
Diterbitkan:  Oct 12, 2018 4:31 PM
Dikemaskini: 8:38 AM

Setiausaha akhbar menteri pendidikan mempertahankan lantikan politik Prof Madya Datuk Dr Muhammad Nur Manuty sebagai pengerusi lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), di Kuala Terengganu.

“Beliau juga tidak dinafikan dari sudut kredibiliti, kelayakan akademik, integriti dan juga kompetensi. Inilah yang menjadi ciri-ciri utama lantikan beliau.

“Manakala sentimen lantikan politik pula terlalu picis dan tak wajar dijadikan keutamaan sehingga menenggelamkan kelayakan beliau yang lain,” kata Shahrul Aman Mohd Saari.

Unisza Selasa lalu mengumumkan Muhammad Nur dilantik ke jawatan itu untuk tempoh tiga tahun sehingga September 2021.

Langkah itu dikatakan terus melanggar janji dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 Pakatan Harapan yang mahu membebaskan universiti daripada campur tangan politik.

Sebelum ini telah kecoh isu pelantikan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sebagai presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Dalam kenyataan kepada Malaysiakini hari ini, Shahrul berkata isu lantikan politik tidak seharusnya menenggelamkan pertimbangan lebih utama, iaitu soal kredibiliti dan integriti.

Beliau turut menyenaraikan pelbagai kelayakan akademik Muhammad Nur yang dirujuknya sebagai “orang politik (yang bakal bersara)”.

“Beliau mempunyai kelayakan akademik yang setara untuk menjawat jawatan tersebut.

“Bahkan beliau dilihat sebagai seorang ahli akademik dan cendekiawan berbanding ahli politik,” katanya.

Dari sudut aktiviti sosial pula, kata Shahrul, Muhammad Nur pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), bekas ahli lembaga pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan menjadi ahli majlis syura kerajaan negeri Pulau Pinang.

“Di Dewan Negara, beliau antara senator yang sangat peka dan banyak mengutarakan isu-isu berkaitan pendidikan.

“Minat beliau terhadap pendidikan sangat tinggi dan perlu diberi ruang setanding dengan tahap pendidikan dan pemikiran beliau,” katanya.

Sementara itu, Shahrul juga menggesa sentimen lantikan politik tidak memadamkan sudut pandang yang lebih luas dalam melihat keseluruhan anggota lembaga pengarah yang dilantik.

Ini, katanya, termasuk lantikan tokoh korporat Tony Fernandes yang bakal membawa Unisza ke depan dalam melahirkan graduan-graduan yang tinggi kebolehpasaran.

Begitu juga dengan pelantikan ahli akademik terkemuka Dr Zaharuddin Abd Rahman yang tidak dinafikan ketokohan beliau khususnya dalam bidang agama.

“Kesatuan ini; Prof Madya Datuk Dr Muhammad Nur Manuty, Tony Fernandes dan Ustaz Dr Zaharuddin Abd Rahman bersama-sama dengan ahli lembaga pengarah yang lain akan mencipta kekuatan tersendiri dalam memacu pergerakan Unisza sebagai sebuah IPT yang perlu diberikan perhatian dan ruang,” katanya.

Lihat Komen
ADS