Paling Popular
Terkini

WAWANCARA | Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon pernah dikritik kerana sikapnya yang dikatakan terlalu berlembut dalam mengawal kelakuan anggota parlimen di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun Mohd Rashid berkata, beliau akan tetap menggunakan pendekatan berhemah kerana sifat sebegitu telah tertanam dalam dirinya sejak sekian lama.

Pada masa yang sama katanya beliau akan menggunakan peraturan mesyuarat bagi mendisplinkan anggota dewan yang didapati melanggar peraturan.

“Ketegasan saya berasaskan buku peraturan mesyuarat.

"Contohnya kalau kita lihat salah seorang anggota dewan keluarkan perkataan tak patut, saya guna peraturan mesyuarat untuk dia minta maaf dulu.

“Saya lebih berminat jadikan ahli parlimen duduk di tempat mereka tapi kena ada code and conduct dengan cara bijaksana,” katanya dalam wawancara ekslusif bersama Malaysiakini, semalam.

Menurut Rashid, latar belakang beliau selaku bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dan anggota parlimen Batu Pahat sebelum ini memberi kelebihan kepadanya untuk dipilih sebagai timbalan speaker.

"Dengan latar belakang inilah ahli parlimen mengenali saya sehingga mendapat 171 undi pada pengundian bersurat (Julai lalu)," katanya lagi.

Mohd Rashid sebelum ini dikritik kerana dilihat gagal mengawal tingkah laku anggota dewan rakyat sehingga sidang itu dicemari penggunaan perkataan kesat oleh beberapa anggota parlimen.

Insiden pertama berlaku dua hari selepas Mohd Rashid dilantik ke jawatan itu, menyaksikan Ramkarpal Singh menjadi anggota parlimen pertama yang diarahkan keluar dari Dewan selepas enggan menarik balik kenyataannya yang menggelar Pemuda Umno sebagai "samseng".

Kekecohan kedua berlaku selepas anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin naik angin dan menghamburkan kata-kata carutan dalam bahasa Inggeris.

Tindakan pemimpin Umno itu mendapat reaksi ramai anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) yang mahu Mohd Rashid  menghalau Bung Mokhtar keluar daripada sidang dewan.

Mohd Rashid berkata, meskipun dilihat menggunakan pendekatan berlembut dalam berdepan anggota parlimen, segala keputusan yang keluar daripada mulutnya adalah “keputusan akhir”.

Ditanya mekanisma yang akan digunakan dalam “mendidik" anggota dewan yang kerap ponteng dalam perbahasan, Mohd Rashid berkata kesemua mereka perlu mengangkat mandat rakyat dan menjujung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Katanya, masalah ketidakhadiran dalam persidangan parlimen kebiasannya dilakukan anggota dewan yang lebih senior berbanding anggota parlimen baru.

“Saya nak bagi nasihat kepada ahli-ahli parlimen.

"Kamu semua dilantik oleh rakyat jadi rakyat melihat bahawa kamu tak datang (sesi parlimen), kamu khianati pilihan rakyat.

“Sekali lagi saya nak ingatkan bahawa baginda Sultan Muhammad V pernah menyatakan 'duduk dan jangan lari'."

"Apa pun keadaannya, kita perlukan ahli parlimen yang dilantik untuk berbahas dengan baik,” katanya.

Reformasi parlimen

Ditanya mengenai langkah mereformasikan parlimen dalam era Malaysia Baru, Mohd Rashid berkata tumpuan kini adalah untuk mempertahankan prinsip pengasingan kuasa antara kuasa legislatif dan eksekutif.

Pada masa lalu, katanya, parlimen dilihat sekadar menjadi 'rubber stamp' bagi pihak eksekutif dan kini usaha dilakukan termasuk meneliti sistem parlimen yang diguna pakai negara-negara lain seperti di Australia.

Sebelum ini Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat mengumumkan akan membentuk enam jawatankuasa pilihan khas dwipartisan.

Antaranya Jawatankuasa Hubungan Negeri dan Persekutuan, Hak Asasi Kesaksamaan Gender, Keselamatan, Bajet dan Lantikan Jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Selain itu, terdapat juga jawatan kuasa yang akan memantau Rang Undang-Undang (RUU) kerajaan sebelum diusulkan di Dewan Rakyat.

Manakala sembilan agensi bakal diletakkan di bawah Parlimen iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Pejabat Pendakwa Raya Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Parlimen Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurutnya Rashid, Jawatankuasa Khas Dewan Rakyat akan memantau perkembangan perkara tersebut.

Parlimen ketika era pentadbiran terdahulu hanya memiliki lima jawatankuasa pilihan khas, termasuklah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Lihat Komen
ADS