Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

DIKEMASKINI |  Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menghadapi lebih banyak pertuduhan berhubung 1MDB tidak lama lagi, kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pegawai yang enggan namanya disiarkan Malaysiakini berkata penyiasat badan anti-rasuah itu kini sedang berusaha menyiapkan kertas siasatan baru.

Tambah sumber berkenaan, ini adalah sebab mengapa Najib dipanggil ke ibu pejabat agensi itu di Putrajaya sekali lagi pagi ini.

"Siasatan ini susulan petunjuk baru dalam siasatan SPRM ke atas 1MDB. Lebih banyak pendakwaan dijangka akan dibuat terhadapnya (Najib) tidak lama lagi."

Sumber itu berkata Najib dipanggil hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009, yang melibatkan salahguna kuasa kerana menerima suapan.

Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan berapa banyak lagi pertuduhan yang akan dibuat terhadap bekas perdana menteri itu mahupun kandungan siasatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa agensi itu telah memanggil Najib sekali lagi dalam kes baru itu.

Bagaimanapun, Azam enggan mendedahkan butiran lanjut sebaliknya hanya mengatakan siasatan masih dijalankan.

Disiasat hampir tujuh jam

Najib tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya kira-kira pukul 10 pagi tadi dan menghabiskan masa hampir tujuh jam sebelum meninggalkan bangunan itu melalui pintu lain.

Seorang anggota Rela memaklumkan kepada media bahawa Najib meninggalkan bangunan itu kira-kira jam 4.30 petang.

Satu lagi sumber yang tahu mengenai perkara itu memberitahu Malaysiakini bahawa Najib telah dipanggil untuk "memberi keterangan mengenai isu baru berkaitan 1MDB."

Ini merupakan pusingan kelima Najib disoal siasat oleh SPRM berhubung kes-kes berkaitan 1MDB.

Beliau setakat ini menghadapi 32 pertuduhan, 25 daripadanya berkaitan 1MDB yang membabitkan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Tujuh lagi pertuduhan berkaitan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International, melibatkan pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan jenayah pecah amanah.

 

 

Lihat Komen
ADS