Malaysiakini
BERITA

Apa motif Hishammuddin mahu cari Jho Low - Shamsul

Anne Muhammad

Diterbitkan
Dikemaskini 23 Okt 2018, 4:44 pagi

PARLIMEN l Tawaran bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk mencari dan membawa pulang ahli pernigaan kontroversi Low Taek Jho dari China bagi menyelesaikan kes 1MDB menimbulkan rasa kurang senang anggota parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN).

Anggota Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata tindakan berkenaan boleh menimbulkan persepsi rakyat sama ada bekas pemimpin Umno mahu melepaskan diri dalam keadaan anggota parti itu kini disiasat berkaitan pentadbiran kerajaan BN terdahulu.

“Kita perlu mengkaji tawaran ini apakah sifatnya kerana kita sedia maklum sekarang ini ramai pemimpin Umno dibawa ke mahkamah dan dituduh atas kesalahan rasuah dan penyelewengan.

“Kita tidak mahu ada sebarang persepsi bahawa tawaran itu bertujuan untuk lepaskan diri dengan perkara-perkara yang bersangkutan dengan kerajaan yang lalu,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Shamsul berkata demikian ketika mengulas kenyataan Hishammuddin semalam yang menawarkan diri mencari Jho Low sehingga ke lubang cacing.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga timbalan menteri industri utama, berkata tidak ada keperluan untuk Hishammddin menawarkan diri dalam keadaan kerajaan sudah mempunyai pihak yang ditugaskan untuk menjaga hubungan Malaysia dan China.

“Saya tidak nampak sebenarnya keperluan untuk perkara ini ditawarkan oleh beliau kerana kalau kita lihat hubungan negara dengan negara sudah pasti huhungan pihak keselamatan kita dengan pihak keselamatan negara china itu tentunya selari dengan hasrat kedua-dua pemimpin negara ini.

“Kalau nak digerakkan jentera keselamatan di sana bagi tujuan membantu kes ini sudah pasti negara kita boleh menghantar pasukan untuk menjejaki Jho Low dan tidak perlu kepada tawaran Hishamuddin cuma dalam konteks ini kita perlu mengkaji apa sebenarnya motif di sebalik tawaran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Shamsul ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan akan menghantar menteri-menteri Kabinet menghadiri kursus dalam usaha 'menyekolahkan' mereka berkata, usaha itu perlu dilakukan secepat mungkin.

“Saya sambut baik saranan Tun Mahathir untuk menteri dan timbalan menteri menghadiri kursus dan dalam masa sama latihan intensif supaya kita boleh menambah baik khidmat sebagai menteri.

“Dan dalam masa yang sama dapat diberikan panduan melalui mereka yang berpengalaman dalam bidang pentadbiran. Ini satu cadangan yang baik dan saya fikir ini perlu disegerakan,” katanya.

Semalam Dr Mahathir berkata tujuan kursus itu adalah bagi meningkatkan prestasi menteri.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.