Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Bekas Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menawarkan dirinya untuk mencari ahli pernigaan kontroversi Low Taek Jho di China bagi menyelesaikan kes 1MDB.

Katanya, tawaran itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya permintaan daripada Putrajaya.

“Saya secara peribadi saya nak lihat isu 1MDB diselesaikan dan kita dapat keadilan, nak tahu hujung pangkal bermakna.

“Sekiranya Jho Low berada di China, saya secara perbadi akan ke China untuk bawa balik Jho Low ke muka keadilan kerana kalau beliau masih lagi berada di luar negara dan kita rasa kes 1MDB ini tak selesai.

“Sebab itu kalau ada desas- desus saya nak ke China, ini bukan ada permintaan dari Putrajaya, saya ada hubungan terdahulu dengan dengan kepimpinan China, kalau benar Jho Low di China, saya akan pastikan beliau dikembalikan dan dihadapkan ke mahkamah,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.

Sebelum itu beliau disoal sama ada kerajaan memohon supaya beliau berperanan bagi memperbaiki hubungan antara Malaysia dan China.

Pada 5 Julai lalu, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau.

Tetapi pada 11 Julai lepas, polis berkata Jho Low dipercayai meninggalkan Macau tanpa diketahui lokasi terbarunya.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Sembrong itu berkata segala usaha akan dibuat bagi memastikan Jho Low dibawa pulang ke Malaysia dan dihadapkan ke muka pengadilan berhubung isu 1MDB.

"Ada khabar angin yang mengatakan dia berada di China dan untuk memastikan sama ada beliau betul di negara itu, saya kena bercakap dengan pemimpin China dan kalau  China enggan untuk menyerahkan Jho Low ke Malaysia  saya nak tahu kenapa.

“Kalau saya boleh bantu kalau sampai ke lubang cacing sekalipun saya akan cari dia," katanya.

Lihat Komen
ADS