Tanpa kehadirannya secara fizikal, nama Datuk Seri Mustapa Mohamed tetap menjadi sebutan - atau lebih tepat, kecaman - di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan hari ini.
Menariknya ia bukanlah dilakukan oleh wakil kerajaan Kelantan sebaliknya anggota dewan undangan negeri (ADUN) pembangkang juga.
Nama Mustapa dibangkitkan ketua pembangkang DUN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad.
Kata Md Alwi Mustapa bukanlah ikon besar seperti digambarkan sesetengah pihak sehingga bekas menteri kanan dan anggota Majlis Tertinggi Umno itu diberikan gambaran salah.
"Masalahnya, kita beri gambaran seolah-olah dia (Mustapa) ini ikon dan segala-galanya. Masalahnya ramai orang angkat dia sebagai ikon.
"Sebenarnya dia bukan (ikon)... kusangka permata rupanya kaca," katanya kepada media ketika ditemui di di Kota Bharu hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Mustapa yang juga dikenali sebagai Tok Pa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas meninggalkan Umno dan menjadi wakil rakyat bebas kira-kira sebulan.
Terkilan tak datang
Sementara itu, Md Alwi yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Kok Lanas berkata, isu Umno Kelantan kehilangan Mustapa perlu dilihat dengan pandangan politik.
"Pada saya pemergiannya perlu dilihat sebagai isu politik.
"Dalam politik tiada permusuhan, yang ada perbezaan hanya pendapat.
"Dia pilih itu (keluar), pilihan dia. Kita tak setuju, berkecil hati dan kecewa itu (tapi) hanya perasaan.
"Dia mungkin ada jawapan sendiri," katanya yang juga ketua penerangan Umno negeri.
Tidak ada Tok Pa di DUN Kelantan hari ini
Tambah Md Alwi, apa yang mengecewakan beliau hari ini apabila Mustapa - sebagai ADUN Air Lanas - tidak muncul dalam sidang DUN.
"Pada saya bukan kehilangan besar, problem tapi saya kecewalah dia tak ada hari ini.
"Kalau dia hadir mugkin kita boleh tanya," katanya.
Untuk rekod DUN Kelantan mempunyai 45 kerusi. Daripada jumlah itu 37 diwakili PAS, manakala selebihnya BN.
Bagaimanapun kemasukan Mustapa ke dalam BERSATU, jumlah itu berubah. BN hanya mempunyai tujuh wakil dan Pakatan Harapan satu.
