DUN KELANTAN | Impian untuk melihat kelibat wakil tunggal Pakatan Harapan (HARAPAN) hadir membawa suara kerajaan pusat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak kesampaian kesampaian hari ini.
Hal itu demikian kerana Datuk Seri Mustapa Mohamed terpaksa bergegas ke Kuala Lumpur pada saat-saat akhir.
Beliau sepatutnya memang sudah membuat persiapan untuk hadir pada hari pertama sidang DUN Kelantan hari ini.
"Maaf, saya ada hal mustahak di Kuala Lumpur.
"Terpaksa batalkan cadangan ke Kota Bharu (pada) saat akhir," kata bekas pemimpin kanan Umno itu kepada petugas media di Kota Bharu.
Mustapa ialah tokoh politik yang disegani rakan dan lawan sejak menyertai Umno kira-kira 40 tahun lalu. Beliau ialah anggota parlimen Jeli, Kelantan.
Bagaimanapun beliau membuat kejutan apabila meninggalkan parti berkenaan pada 18 Sept lalu untuk menjadi anggota parlimen bebas.
Pada 26 Okt lalu Mustapa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) secara rasmi.
Selain mewakili kerusi parlimen Jeli Mustapa juga dipilih menjadi anggota dewan undangan negeri (ADUN) Air Lanas pada PRU ke-14 lalu.
Penyertaan beliau ke dalam BERSATU menjadikan HARAPAN memiliki wakil dalam DUN Kelantan.
Untuk rekod HARAPAN kalah di semua kerusi DUN dan parlimen di Kelantan pada PRU ke-14 lalu.
