ULASAN | Apabila Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyentuh isu berkaitan ketuanan Melayu, pantas media arus perdana menjadikan ia panas seperti juadah berbuka puasa; cuba memanipulasi kenyataan tersebut dengan sebaik mungkin.
Tidak perlu untuk kita pergi jauh menyiasat pihak-pihak di belakang media arus perdana ini tetapi satu percubaan untuk mempamerkan menteri belia dan sukan berideologi ‘liberal’ adalah satu usaha yang jelas apabila isu ketuanan Melayu ini diperkatakan.
Terma ketuanan Melayu diwujudkan oleh penyokong pro kerajaan terdahulu untuk membangkitkan sentimen perkauman di kalangan orang Melayu pasca pilihanraya 2008 yang menyaksikan kuasa mereka yang terbabit ini terjejas teruk.
Ia bertujuan untuk membakar semangat orang Melayu dan memberi gambaran kepada mereka bahawa mereka adalah ‘tuan’ yang sebenar di negara ini.
Dijaja dan dimanipulasi
Frasa ketuanan Melayu tidak wujud di dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi kedudukan istimewa orang Melayu ada dinyatakan di dalam Perkara 153 perlembagaan.
Hujah ini digunakan oleh penyokong ideologi ketuanan Melayu untuk mencari justifikasi dalam pegangan mereka.
Kini, istilah ketuanan Melayu ini akan dijaja dan dimanipulasi sekali lagi demi kepentingan politik, seolah-olah orang Melayu berada dalam keadaan terancam sedangkan undang-undang telah pun menjamin kedudukan istimewa orang Melayu.
Maka istilah ini digunakan untuk membangkitkan sentimen mereka. Janganlah kita terperangkap dengan helah ini.

Tuan yang sebenar adalah Raja-Raja Melayu, pemerintah monarki asal di negara ini.
Bukankah Raja-Raja Melayu dan Yang Dipertuan Agong memayungi semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama?
Adakah orang Melayu sahaja yang bercuti dan bangsa lain bekerja semasa hari keputeraan Sultan dan Yang Dipertuan Agong?
Maka, selayaknya istilah ketuanan ini dikhususkan kepada Raja-Raja Melayu sahaja.
Raja-Raja Melayu memerintah berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen. Tuan kepada adat, budaya, penyatuan dan kemakmuran kita di tangan Raja-Raja Melayu.
Ada banyak lagi jenis tuan yang lain. Contohnya, tuan kepada undang-undang kita adalah parlimen selaku badan yang menggubal undang-undang.
Begitulah istilah ketuanan yang perlu diletakkan di tempat yang sewajarnya.

Perlu fahami maksud kenyataan menteri belia dan sukan apabila beliau mempersoalkan definisi tuan sedangkan orang Melayu sendiri tidak berlagak seperti seorang tuan.
Malangnya kenyataan beliau telah dimanipulasi dan diambil kesempatan untuk melabel beliau seolah-olah beliau membelakangkan bangsa Melayu.
Istilah tuan ini perlu bersesuaian pada tempatnya. Sebagai contoh, apabila anda masuk ke kedai kopi, anda tidak perlu membuat pengunguman yang anda kaya dan ada simpan duit di Switzerland.
Tetapi, dengan membayar semua makan dan minum satu kedai kopi itu, semua orang akan tahu yang anda seorang yang kaya.
Tidak perlu cakap pun. Ini lah maksud Syed Saddiq dalam analogi yang paling mudah difahami.
Lihat sahaja kepada Jose Mourinho, apa guna bergelar ‘The Special One’ tetapi kini menghuni tangga ke-8 liga.
MOHAMAD SIDDIQ AZANI merupakan seorang peguam dan anggota ARMADA BERSATU.
Tulisan ini pandangan peribadi penulisan dna tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.
