Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Apa guna ketuanan Melayu kalau jadi kuli - Dr Mahathir

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membidas apa yang disifatkannya sebagai “perjuangan berdegar-degar” yang mempertahankan dan mengangkat isu ketuanan Melayu.

“Saya bagi tahu pada orang Melayu semua, tak una bercakap ketuanan Melayu kalau kamu bekerja sebagai kuli orang.

“Kalau kita nak jadi tuan kita boleh jadi tuan, tapi nak kena ada ilmu, nak rajin kerja, buat secara baik, jangan tipu, jangan curi, jangan ikut contoh PM yang lama,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada penyandang terdahulunya, Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan pelancaran Dasar Kebangsaan mengenai Industri 4.0 atau dikenali sebagai Industri4WRD, di Menara Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir pada sidang akhbar itu turut mengingatkan bahawa insentif dan subsidi adalah tidak baik bagi rakyat Malaysia dan malahan mereka kemungkinan boleh hilang keupayaan untuk berfikir satu hari nanti jika mereka bergantung kepada bantuan seumpama.

Jangan bergantung kepada insentif, subsidi

Katanya, sikap bergantung kepada insentif adalah salah, lebih diburukkan lagi ia diamalkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Inilah yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini. Mereka beri wang kepada rakyat, anda tidak perlu bekerja. Tidak bekerja pun anda boleh dapat RM500.

“Jika rakyat Malaysia menjadi seperti ini, tidak lama lagi mereka tidak boleh berfikir, malah tidak mampu bergerak, tidak mampu berbuat sesuatu dengan sendiri kerana mereka akan selalu menunggu subsisi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, malah dalam forum perniagaan, pihak industri akan meminta insentif kerajaan.

"Bila kita cuba memberitahu rakyat untuk cari lebih wang, mereka bertanya kembali kepada saya sama ada saya akan memberi insentif yang lebih lagi,” katanya, dengan menjentik kepada mereka yang mempunyai kecenderungan ke arah ini.

Pagi tadi, sekumpulan aktivis yang disokong oleh Umno dan PAS berhimpun di luar bangunan parlimen di ibu negara bagi membantah keputusan kerajaan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Menghapuskan Diskriminasi Kaum (Icerd), Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Mereka melaungkan pelbagai slogan anti-Icerd dan membawa keranda sebagai simbolik “kematian” bagi orang Melayu dan Islam di negara ini.

Pada 27 Oktober lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman, menimbulkan kontroversi apabila beliau dilaporkan sebagai berkata zaman ketuanan Melayu kini berakhir dan Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan.

Meskipun dikecam pelbagai pihak, Syed Saddiq yang juga Ketua ARMADA (Pemuda BERSATU) berkata bahawa orang Melayu masih dibuai mimpi indah mengenai isu ketuanan bangsa berkenaan sedangkan hakikatnya mereka jauh ketinggalan.

Beliau berkata, laungan itu hanya kosong dan tidak berpijak di bumi nyata.

Dalam artikelnya selepas itu, Syed Saddiq memberi gambaran ketuanan Melayu adalah "mimpi palsu".


Lihat Komen
ADS