Selepas seorang bekas pelajar SMK Taun Gusi, di Kota Belud, Sabah bertindak menyaman seorang guru bahasa Inggeris tingkatan empatnya yang didakwa tidak hadir selama tujuh bulan, dua lagi individu yang mengaku sebagai bekas pelajar tampil membuat dakwaan serupa.
Mengulas laporan Malaysiakini berhubung kes itu yang disiarkan di Facebook 1Sabah, Velnie Aine Ringgan berkata dia mempunyai pengalaman sama ketika menjadi anak murid guru berkenaan, Jainal Jamran.
"Daripada pengalaman saya sebagai bekas pelajar SMK Taun Gusi dan pernah diajar oleh cikgu tersebut semasa tingkatan 4 dan 5 memang pernah mengalami keadaan yang sama. Cikgu tersebut memang jarang masuk kelas. Terutamanya kelas hujung.
"Memang saya akui 'Mr JJ' jarang masuk kelas," katanya.
Seorang lagi yang menggunakan nama Omar Ewin berkata dia pernah menjadi anak murid Jainal.
"Kenal betul cikgu ni. Memang betul. Satu tahun mungkin dua atau tiga kali saja dia masuk kelas kami," katanya yang mendakwa menjadi anak murid Jainal pada 2010 ketika berada di tingkatan 4.
Sebelum ini, Nafirah Siman menyaman guru bahasa Inggeris itu kerana tidak hadir dan gagal memastikan dia belajar subjek berkenaan yang menurutnya melanggar hak perlembagaannya mendapatkan pelajaran.
Meskipun pelbagai aduan telah dibuat, beliau mendakwa pihak berkuasa - Kementerian Pendidikan, jabatan Pendidikan dan guru besar Suid Hanapi - gagal mengambil tindakan.
Nafirah turut mendakwa Suid cuba melindungi ketidakhadiran Jainal dengan "memalsukan" kehadiran guru berkenaan untuk menunjukkan dia cuma tidak hadir dua bulan.
Suid juga didakwa menekan pelajar untuk memberi pandangan yang baik terhadap Jainal.
Selain Jainal, saman itu turut menamakan Suid, sekolah berkenaan, pegawai pendidikan Kota Belud, ketua pengarah pendidikan Sabah, Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.