Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nasib tapak pelupusan sampah Bukit Payong belum pasti

Penentangan penduduk terhadap cadangan pembinaan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari di Bukit Payung sebenarnya berlarutan sejak 2012 lagi.

Bantahan itu dibuat kerana mereka bimbang terhadap pencemaran alam sekitar seperti air leachate (cecair yang meresap melalui pepejal) dari tapak pelupusan itu, dan bau yang tidak menyenangkan dan bakal mengganggu keselesaan mereka.

Selain itu, sebahagian penduduk sekitar yang merupakan pekebun sayur dan penternak ikan pula bimbang tapak pelupusan sampah akan merosakkan bekalan air bersih yang penting dalam kedua-dua perusahaan tersebut.

Setakat artikel ini ditulis, status tapak pelupusan sampah itu masih "ditangguhkan".

Baru-baru ini, seorang pengkaji sejarah Mohd Azlan Sharif menghubungi Malaysiakini untuk memaklumkan bahawa ada sebab lebih genting kenapa tapak pelupusan itu tidak wajar diteruskan.

Dakwanya, kawasan sekitar Bukit Payong itu mempunyai warisan geologi (penemuan fosil) dan sejarah (tempat penemuan batu Aceh) yang pasti terancam sekiranya projek pelupusan sampah itu diteruskan. 

Mengakui hal itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Johor, Mohamad Hussein Jamaluddin, berkata kawasan sekitar Parit Sulong, Muar, Pagoh, Yong Peng sehingga ke Paloh (termasuk Bukit Payong) dipetakan sebagai mempunyai jujukan batu dari zaman akhir jura hingga ke era kapur awal (jutaan tahun), yang disebut sebagai formasi Paloh.

Juga jadi pusat rekreasi

Berikutan bantahan daripada penduduk sekitar, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Johor bermesyuarat pada 30 Julai lalu dengan memanggil agensi-agensi teknikal bagi menilai dan memberikan pendapat profesional masing-masing berkaitan projek tapak pelupusan sampah tersebut.

“Antara agensi yang terlibat termasuklah JMG, Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Saya ada sebutkan bahawa di Bukit Payong ini ada warisan geologi. Selain itu, Bukit Payong ada nilai sejarah dan memang menjadi destinasi rekreasi dan pelancongan.

“Justeru beberapa kawasan alternatif dicadangkan bagi menggantikan Bukit Payong, dan kita bincangkan dari aspek pertimbangan teknikal lain seperti pandangan agensi terlibat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini baru-baru ini.

Mohd Azlan

Bagaimanapun, kata Mohamad Hussein, setelah mengambil kira semua aspek seperti parameter hakisan, pencemaran, bunyi, bau dan sebagainya, kawasan-kawasan lain didapati tidak sesuai menggantikan Bukit Payong jika projek tapak pelupusan sampah itu mahu diteruskan.

Beliau turut meluahkan rasa kesal jika Bukit Payong akhirnya dijadikan tapak pelupusan sampah dan mencadangkan supaya teknologi insinerator dipertimbangkan untuk dibina di kawasan itu.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan Dan Kebudayaan Johor Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata perbincangan dilakukan dengan Yayasan Warisan Johor (YWJ) selepas timbul dakwaan mengenai warisan geologi itu.

“Batu Aceh ini memang ada banyak, ada yang berstatus diraja ada yang bukan. [...] Saya dah tanya YWJ sebelum ini dan mereka kata memang ada (penemuan batu Aceh).

“Tetapi batu Aceh yang ditemui di kawasan yang itu bukanlah yang diraja, sebaliknya hanya batu Aceh biasa," katanya kepada Malaysiakini semalam.

Malah, Khuzzan turut mempelawa Malaysiakini untuk duduk semeja bersama Pengarah Bahagian Pemuziuman YWJ Kamarudin Ab Razak bagi membincangkan tentang hal tersebut dengan lebih terperinci.

“Saya harap apabila isu ini (laporan) dikeluarkan, ia boleh jadi terperinci dan menjawab segala persoalan,” tambahnya lagi.

Ditanya tentang status terkini penangguhan projek pelupusan sampah dan sanitari di Bukit Payong, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memberikan jaminan bahawa keputusan yang diambil akan mengambil kira semua aspek.

“Kita (akan) melancarkan satu penyelesaian jangka panjang terhadap pelupusan sampah di daerah selatan Johor, sekali gus menyelesaikan masalah (kebimbangan) penduduk di sekitar Bukit Payong,” katanya ketika ditemui oleh Malaysiakini baru-baru ini.

Malah, Zuraida berkata, pihaknya turut mempertimbangkan cadangan pembinaan insinerator di selatan Johor yang boleh menampung sampah dari kawasan sekitarnya, termasuk Bukit Payong dan Simpang Renggam.

Pun begitu, dikhuatiri pembinaan insinerator itu pula akan berdepan lain walaupun kaedah itu didakwa lebih mesra alam berbanding tapak pelupusan sampah. 

Lihat Komen
ADS