Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Siapa disebut dalam kertas pertuduhan DOJ?
Diterbitkan:  Nov 4, 2018 10:10 AM
Dikemaskini: Nov 3, 2018 6:00 AM

Selepas lebih dua tahun sejak Jabatan Kehakiman AS (DOJ) memfailkan saman pelucuthakan sivil bagi merampas aset yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, pertuduhan jenayah pertama kali akhirnya dibuat pada Khamis lalu.

Mengikut amalan biasa, DOJ tidak secara langsung menamakan individu dan entiti dalam kertas pertuduhannya.

Bagaimanapun dengan meneliti latar belakang skandal 1MDB dan membandingkannya dengan kertas pertuduhan, individu dan entiti yang tidak dinamakan itu masih boleh dikenal pasti.

Berikut adalah ringkasan mengenai siapa kemungkinan mereka:

Low Taek Jho, Ng Chong Hwa, dan Tim Leissner

Ahli Pernigaaan Low Taek Jho, jurubank Roger Ng dan Tim Leissner disebut sebagai konspirator bersama dalam kertas pertuduhan masing-masing.

Dalam kertas pertuduhan Low & Ng, Leissner dirujuk sebagai "Konspirator Bersama # 1".

Dalam kertas pertuduhan Leissner, Low disebut sebagai "Konspirator Bersama #1" manakala Ng disebut sebagai "Konspirator Bersama #2".

Ini boleh dilihat dengan hanya membandingkan bagaimana ketiga-tiga individu itu dijelaskan dalam dua kertas pertuduhan.

Ketiga-tiga mereka dikatakan telah menggunakan hubungan Low bagi memperoleh bisnes untuk sebuah institusi kewangan di Amerika Syarikat (Kenungkinan bekas majikan Leissner, Goldman Sachs Group Inc) melalui perjanjian dan bayaran ratusan juta dolar dalam bentuk suapan.

Ini termasuk memastikan bahawa 1MDB menganugerahkan Goldman Sachs dengan peranan dalam terbitan bonnya.

Leissner mengaku bersalah, manakala Ng ditangkap di Malaysia dan akan diekstradisi ke AS untuk menghadapi tuduhan. Low masih bebas dan mendakwa dia tidak bersalah.

DOJ mengingatkan pendakwaan terhadap Ng dan Low adalah merupakan suatu tuduhan dan mereka dianggap tidak bersalah sehingga dan melainkan mereka terbukti bersalah.

Najib Razak

Dikenali dengan kod nama "Malaysian Official #1" yang disebut dalam dokumen DOJ sekali lagi, ia mungkin merujuk kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Dalam dua pertuduhan itu, "Malaysian Official # 1" digambarkan sebagai "seorang warga Malaysia dan pegawai tertinggi dalam kerajaan Malaysia dan Kementerian Kewangan sekitar 2009 sehingga pada atau sekitar 2018 dengan mempunyai kuasa meluluskan keputusan perniagaan 1MDB. "

Tempoh masa itu bertepatan dengan tempoh pelantikan dan kejatuhan Najib sebagai perdana menteri, di mana beliau juga memegang portfolio kewangan.

Najib juga merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB sehingga ia dibubarkan.

Kertas pertuduhan terhadap Leissner mendakwa dia dan rakan konspirator lain telah membantu menyalurkan dana 1MDB yang diterbitkan melalui  bon pada 2012 yang diberi nama "Projek Maximus" sambil mengetahui bahawa Malaysian Official# akan menerima sogokan darinya.

Sebanyak AS$ 1.3 juta didakwa disalurkan dari terbitan bon lain yang dikatakan disalurkan kepada pembuat berlian di New York bagi membayar barang kemas untuk "isteri MO1".

Sebelum ini, dikatakan bahawa Najib menerima AS$ 681 juta yang telah dipindahkan ke akaun bank peribadinya, di mana AS$ 620 juta telah dikembalikan.

Najib kekal menyatakan tidak bersalah, tetapi DOJ sebelum ini dalam saman pelucuthakan sivilnya mendakwa dana yang dikembalikan itu digunakan oleh sekutu Low, Eric Tan untuk membeli beberapa karya seni, bersama berlian 22 karat dan kalung berlian untuk "isteri MO1".

Riza Aziz

Konspirator bersama # 3 dalam kertas pertuduhan Low & Ng digambarkan sebagai "warganegara Malaysia yang merupakan saudara terdekat Malaysian Official # 1 dan pemilik syarikat US Motion Picture # 1, sebuah syarikat penerbitan filem di AS".

Ini mungkin merujuk kepada anak tiri lelaki Najib, Riza Aziz dan syarikat produksi filemnya, Red Granite Pictures.

Sebelum ini, DOJ mendakwa dalam saman sivilnya bahawa Red Granite Pictures telah menggunakan dana yang berasal dari 1MDB untuk membiayai filem Wolf of Wall Street, Daddy's Home, and Dumb and Dumber To.

Fakta bahawa Syarikat US Motion Picture # 1 terlibat dalam penerbitan The Wolf of Wall Street juga disebut dalam kertas pertuduhan Low & Ng.

Red Granite semenjak itu telah menyelesaikan saman dengan membayar AS$ 60 juta tanpa pengakuan bersalah, sementara Riza hanya menerima gaji terhad untuk menampung insurans kesihatannya sehingga penyelesaian dibayar sepenuhnya pada 20 Sept.

Mengikut kertas pertuduhan terhadap Low & Ng, kira-kira AS$ 133 juta terbitan bon pertama 1MDB (Projek Magnolia) dipindahkan ke akaun yang dikawal oleh Konspirator Bersama # 3.

Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny

Konspirator Bersama #3 dalam kertas pertuduhan Leissner dan Konspirator Bersama #2 dalam kertas pertuduhan Low & Ng adalah orang yang sama.

Beliau digambarkan sebagai "warganegara AS yang merupakan pegawai tinggi dalam firma pelaburan asing A pada sekitar 2012 sehingga pada atau sekitar 2014".

Firma Pelaburan Asing A mungkin anak syarikat International Petroleum Investment Company (IPIC), Aabar Investments PJS, di mana kemungkinan individu bagi konspirator ini ialah Mohamed Ahmed Badawy al-Husseiny yang merupakan ketua pegawai eksekutifnya.

Sebelum ini, dikatakan bahawa Badawy dan pengerusi IPIC pada masa itu, Khadem Abdulla al-Qubuisy telah menubuhkan syarikat British Virgin Islands, Aabar Investments PJS Ltd (Aabar-BVI)

Meskipun namanya memiliki persamaan, dikatakan bahawa Aabar-BVI tiada kena mengena dengan IPIC tetapi sebaliknya ia bertujuan untuk menyamarkan pembayaran 1MDB yang ditujukan kepada Aabar yang tulen.

Kertas pertuduhan terhadap Leissner mengatakan saudara kepada saudara Konspirator Bersama # 3 (Badawy) juga mendapat manfaat daripada dana 1MDB yang diterbitkan daripada pengeluaran bon pada 2012.

Khadem Abdulla al-Qubuisy

Bekas pengerusi IPIC ini mungkin adalah "Abu Dhabi Official # 1" yang dinamakan dalam dua kertas pertuduhan.

Dia digambarkan sebagai pegawai tinggi dari 'agensi asing A' sekitar tahun 2012 sehingga pada atau sekitar tahun 2014, dan di pejabat tinggi Firma Pelaburan Asing A."

Agensi asing A yang disebutkan mungkin IPIC, sementara Firma Pelaburan Asing A mungkin merupakan anak syarikat IPIC, Aabar.

Seperti yang disebutkan di atas, Khadem dan Badawy didakwa menubuhkan syarikat yang menyerupai Aabar bagi menyalurkan dana 1MDB yang ditujukan untuk anak syarikat IPIC yang tulen.

Menurut dua kertas pertuduhan, Khadem didakwa menerima wang yang disalur daripada terbitan bon 1MDB.

Ia juga menyebut akaun syarikat cengkerang di mana "Abu Dhabi Official # 1" dan "Konspirator Bersama # 2/3" (Bawany) adalah penandatangan, tetapi hakikatnya dikawal oleh Low dan satu lagi konspirator.

Andrea Vella

Konspirator Bersama # 4 dalam kertas pertuduhan Leissner digambarkan sebagai "seorang warga Itali yang bekerja sebagai pengarah urusan dan bertindak sebagai agen Institusi Kewangan AS# 1 dari sekitar tahun 2007 hingga kini."

Dia mungkin merupakan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman Sachs di Asia. 

Menurut laporan Bloomberg dan New York Times, Vella memang merupakan salah satu daripada konspirator yang disebut dalam kertas pertuduhan DOJ dan telah dibebaskan.

Bloomberg juga menyebut bahawa Vella telah diturunkan pangkat dari jawatan sebagai eksekutif bulan lepas.

Menurut pertuduhan terhadap Leissner, Leissner telah berkomplot dengan Konspirator Bersama  2 (Ng) dan Konspirator Bersama #4 (Vella) untuk memintas pemeriksaan dalaman Goldman Sachs.

Ada siapa lagi?

Terdapat individu yang tidak dikenali yang disebutkan dalam dua kertas pertuduhan, tetapi kurang maklumat untuk mengenal pasti mereka.

Terdapat 1MDB Official #1, 1MDB Official #2, dan 1MDB Official #3 yang disebutkan dalam kedua-dua kertas pertuduhan, dan "Konspirator Bersama #5" yang disebut dalam kertas pertuduhan Leissner.

1MDB Official #1, #2 dan #3 masing-masing digambarkan sebagai "pegawai peringkat tinggi dalam 1MDB dari atau sekitar 2012 sehingga pada atau sekitar 2014". 

Seterusnya, 1MDB Official #1 dan #3 merupakan titik hubungan utama antara Goldman Sachs dan 1MDB.

DOJ sebelum ini membabitkan lima pegawai 1MDB dalam samannya. Sesetengahnya tidak dikenali, tetapi identiti mereka masih dapat disimpulkan daripada maklumat lain yang tersedia.

Mereka yang terlibat sebelum ini termasuk bekas pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, bekas pengarah 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, bekas penasihat 1MDB dan pengarah eksekutif strategi kumpulan Jasmine Loo Ai Swan, bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB Nik Faisal Ariff Kamil dan bekas pengarah eksekutif kewangan 1MDB Terence Geh.

Bagi Konspirator Bersama #5, dia digambarkan sebagai "warganegara China, penduduk Hong Kong dan saudara terdekat kepada defendan Tim Leissner".

Tuduhan terhadap Leissner menyebut beberapa kali di mana wang dari 1MDB didakwa dipindahkan ke akaun yang dikendalikan bersama olehnya dan Konspirator Bersama #5.

Lihat Komen
ADS