Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Himpunan bantah Icerd: Ini hanya permulaan, kata Asyraf

Pemuda PAS dan Umno merancang untuk mengadakan siri jelajah bagi membantah hasrat kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata protes hari ini, yang diadakan di pusat bandar raya Kuala Lumpur yang menarik 1,500 hadirin, hanyalah satu permulaan.

"Kita akan bergerak ke tempat-tempat lain dengan satu mesej - kita bukan nak gugat kedudukan kaum atau agama lain. Ini adalah untuk keharmonian semua agama.

"Kita tidak mahu ikat diri kita dengan peraturan antarabangsa yang pada hakikatnya akan memporak-porandakan keharmonian dan kestabilan negara," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di depan kompleks membeli-belah Sogo.

Himpunan itu anjuran bersama Pemuda Umno dan PAS. Pada pukul satu tengah hari, peserta yang berkumpul di Masjid Jamek mula berarak ke Sogo sambil melaungkan takbir dan 'tolak Icerd'.

Selain Asyraf (gambar), turut hadir adalah Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi, pemimpin kedua-dua sayap itu serta NGO lain.

Peserta mula bersurai kira-kira pada pukul 3.30 petang.

Khalil dalam ucapannya berkata pembangkang akan terus mendesak kerajaan untuk tidak meratifikasi Icerd.

"Icerd dibawa secara tiba-tiba. Kita bimbang dengan perkara ini. Bukan saja mereka (kerajaan) gagal menunaikan janji seperti mansuhkan PTPTN dan tol, tetapi kini mereka bangkitkan Icerd.

"Kita akan terus desak mereka untuk tolak Icerd," katanya.

Bercakap dengan pemberita selepas itu, kerajaan sepatutnya mengutamakan soal yang lebih penting seperti kos sara hidup yang tinggi.

"Icerd ditentang kerana asas dalam negara kita termaktub dalam Perlembagaan, iaitu Islam sebagai agama rasmi dan hak orang Melayu (terjaga) tanpa menzalimi kaum dan agama lain," katanya.

Beliau juga berkata mana-mana pihak tidak boleh membuat perbandingan dengan negara majoriti Muslim yang telah meratifikasi Icerd - seperti Pakistan dan Yaman - kerana demografi politik yang berbeza.

Pada 24 Oktober, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dilaporkan berkata, kerajaan komited untuk meratifikasi Icerd dan lima lagi konvensyen hak asasi manusia PBB pada tahun depan.

Bagaimanapun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan hanya akan meneruskannya selepas berunding dengan semua kaum.

Ia mencetuskan kemarahan beberapa pihak yang rata-ratanya berkata Icerd bertentangan dengan hak istimewa bumiputera dan akan mengancam kedudukan Raja-raja Melayu.

'Tak perlu tunggu Disember'

Sementara itu, Asyraf berkata beliau telah menghubungi Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mempercepatkan dialog berhubung ketuanan Melayu antara mereka berdua.

"Saya minta dia untuk percepatkan. Tetapi dia kata tunggu selepas tamat sesi Parlimen Disember ini. Saya kata kenapa perlu tunggu? Kita boleh buat lebih awal, dan kini saya menunggu maklum balasnya," katanya lagi.

Isu itu berpunca daripada laporan ucapan Syed Saddiq pada 27 Oktober lalu bahawa zaman ketuanan Melayu sudah berakhir dan Malaysia kini bergerak ke fasa baru yang memperjuangkan kesaksamaan.

Selepas dikritik, beliau sekali lagi mempertahankan kenyataan itu dalam satu artikel yang antara lain memberi gambaran ketuanan Melayu adalah "mimpi palsu".

Lihat Komen
ADS