Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas editor Roket dimaklum tak dilantik sebagai CEO Bernama
Diterbitkan:  Nov 5, 2018 11:36 AM
Dikemaskini: 3:36 AM

Bekas ketua pengarang lidah rasmi DAP, Wan Hamidi Hamid berkata beliau dimaklumkan tidak akan dilantik bagi jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Agensi Berita Nasional (Bernama).

Menulis di ruangan Facebooknya, Wan Hamidi juga enggan mengulas lanjut sebaliknya meminta perkara itu ditanyakan kepada lembaga pengelola Bernama, menteri kabinet atau 'kumpulan tertentu'.

"Setelah menjadi sasaran pembohongan, kutukan yang tidak adil dan serangan peribadi untuk beberapa lama, saya telah dimaklumkan bahawa saya tidak akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama. Ini walaupun pada mulanya saya ditawarkan, dipujuk, dan diyakinkan menerima kerja ini di agensi berita kebangsaan itu.

"Saya minta maaf tetapi saya tidak akan menjawab apa-apa pertanyaan, jadi jangan buang masa anda untuk menghantar mesej kepada saya atau hubungi saya mengenai perkara ini.

"Jika anda benar-benar ingin tahu, mungkin anda perlu bertanya lembaga pengelola Bernama atau menteri kabinet, atau orang-orang dan kumpulan kaum, termasuk beberapa media, dan portal berita yang membenci DAP," tulisnya di Facebook.

Dalam tulisannya, Wan Hamidi berkata selain pernah menjadi editor di akhbar Rocket milik DAP, beliau memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang kewartawan termasuk bertugas di Berita Harian, The Star, The Sun, Straits Times Singapore, New Straits Times dan The Malaysian Insider.

Malah katanya beliau kini masih menulis sebagai kolumnis di beberapa portal berita.

"Bagi mereka yang tertanya-tanya, saya benar-benar percaya dengan kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara, walaupun kita tahu bahawa dalam konteks Malaysia, lebih mudah cakap daripada buat tetapi kita tidak boleh berputus asa," katanya.

Cadangan bagi melantik Wan Hamidi sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Bernama bagi menggantikan Datuk Zulkefli Salleh, mendapat tentangan pelbagai pihak, termasuk bekas menteri penerangan Tan Sri Rais Yatim.

Rais menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menimbang semula langkah itu kerana ia mungkin menyebabkan agensi berita kebangsaan itu dipolitikkan.

Anggota kakitangan Bernama sebelum ini juga menyatakan kebimbangan pelantikan Hamidi akan menghakis sikap tidak berpihak agensi itu selepas kemenangan Pakatan Harapan pada 9 Mei lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS