Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rais tak setuju bekas editor Roket jadi CEO Bernama

Veteran politik Tan Sri Rais Yatim menyuarakan rasa tidak senangnya dengan pemilihan bekas ketua pengarang lidah rasmi DAP Wan Hamidi Hamid sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baru Bernama.

Rais justeru berharap Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dapat mempertimbangkan semula perkara itu.

“Dulu kami tidak memilih mana-mana pihak yang kuat berpolitik untuk (menerajui) Bernama.

“Dan kita harus menghindarkan trend ini kalau tidak sesuatu agensi itu warnanya akan dipolitikkan, nadinya dipolitikkan, pemikirannya dipolitikkan.

“Saya menyatakan ini bukan pilihan yang baik. Dan (ia) harus difikirkan kerana Bernama itu adalah neutral,” kata bekas menteri penerangan yang kini bersama Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU).

Menjawab soalan pemberita di Universiti Malaya (UM) di ibu negara pagi ini, Rais mencadangkan seorang pegawai kerajaan yang tidak ada penglibatan politik yang kuat dipilih ke jawatan itu.

Menurut sumber pelantikan bekas ketua pengarang Roket itu akan dibuat tidak lama lagi sekiranya tawaran yang diberikan diterimanya.

Malaysiakini semalam difahamkan surat tawaran untuk jawatan itu belum dikeluarkan lagi.

Sementara itu, The Star Online melaporkan, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan pegawai kanan Bernama dijangka akan mengadakan mesyuarat tidak lama lagi untuk menyokong pelantikan Wan Hamidi.

Lihat Komen
ADS