Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Exco: Pihak berkuasa bincang pulihara bangunan bersejarah 'Japanese Club'

Kerajaan Johor sedang mengadakan perbincangan dengan pihak berwajib berhubung dakwaan sebuah bangunan bersejarah di Batu Pahat yang kini terbiar usang, malah dijadikan tempat penternakan burung walit.

Exco Belia, Sukan dan Kebudayaan Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata pihaknya bersama-sama Yayasan warisan Johor (YWJ) juga sedang melihat sama ada bangunan itu - yang kini sudah menjadi milik persendirian - boleh dipulihara sebagai bangunan bersejarah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang pengkaji sejarah Mohd Azlan Mohd Sharif bahawa bangunan tiga tingkat itu, yang dikatakan pernah dikenali sebagai 'Japanese Club pada era 1930-an, telah bertukar menjadi sarang burung walit haram.

Mohd Azlan juga menggesa kerajaan negeri, dan telah membuat aduan kepada Majlis Perbandaraan Batu Pahat, bagi 'menyelamatkan' bangunan itu yang menurutnya penting buat sejarah daerah itu.

"Saya telah berbincang dengan Pengarah YWJ Mohd Shahrin Rahmat berkenaan perkara ini. Malah kita juga hendak lihat adakah ada klausa yang membolehkan kita masukkan pindaan dalam penguatkuasaan tentang (pemeliharaan) bangunan bersejarah.

“Ada perbincangan dan ada perkembangan, bukan kita tak ambil (kisah)...Cuma kita tak maklumkan lagi kepada awam, kerana kita tak mahu (makluman) yang terlalu umum, nanti isu ini akan timbul lagi berulang-ulang,” kata Khuzzan (gambar) ketika dihubungi Malaysiakini.

Dalam artikel pada 4 Oktober lalu, Mohd Azlan berkata dia mungkin telah menemui bangunan itu yang 'hilang' sejak sekian lama, selepas membanding lokasinya dengan peta Batu Pahat pada era 1930-an yang ada di National Library of Australia.


BacaIni mungkin Japanese Club Batu Pahat 1930 yang 'hilang' itu


Katanya, bangunan Japanese Club itu memainkan peranan penting dalam ekonomi Batu Pahat antara 1918 hingga 1940, ketika Jepun melabur dalam perlombongan biji timah dan estet.

Namun, katanya lagi, keadaannya kini usang tanpa sebarang papan tanda bagi mengiktiraf kepentingannya dalam sejarah.

Malah dia berkata bangunan itu pernah disebut dalam karya penyajak terkenal Jepun, Kaneko Mitsuharu (1895-1975).

“Sebagai pengkaji sejarah, saya terkejut apabila mendapati bangunan dipercayai Japanese Club Batu Pahat, Jalan Syahbandar ada ternakan burung walit.

“Hal ini saya telah adukan kepada Majlis Perbandaran Batu Pahat dan Jabatan Veterintar Batu Pahat,” katanya lagi.

Lihat Komen
ADS