Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Jabatan Imigresen membuka siasatan berdasarkan video tular yang memaparkan nasib 48 warga asing yang menjadi mangsa buruh paksa.

"Ketua pengarah telah mengarahkan siasatan segera terhadap video itu yang tular di media sosial itu," maklum sumber di jabatan imigresen.

Awal hari ini, P Muniandy, setiausaha politik kepada Senator P Waytha Moorthy yangmembuat laporan polis di Kedah selepas menonton video berkenaan.

Muniandy mendakwa jika klip video itu dibuktikan tulen, maka mungkin ia kes penahanan dan pengurungan secara haram yang melanggar Kanun Keseksaaan dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Klip video sepanjang 4 minit 34 saat itu menunjukkan seorang lelaki bercakap di hadapan sekumpulan orang di tengah-tengah persekitaran hutan.

Dakwa disiksa, dipukul

Suara latar dalam video itu berkata terdapat 48 orang dari Tamil Nadu, India yang menjadi mangsa penyiksaan dan dipukul, manakala gaji dan dokumen perjalanan mereka juga ditahan.

"Sesiapa yang menonton video ini, tolonglah kami. Kami tidak dapat menyampaikan keadaan nasib kami ke kampung halaman. Tolong hantar kami balik ke Tamil Naidu, India. Tolong hantar kami pulang hidup-hidup. Inilah rayuan kami.

"Pemilik (perniagaan) adalah... Tolong selamatkan kami sebelum dia melihat video ini. Kami di sebuah tempat di Bentong," kata lelaki yang tidak dikenali itu.

Malaysiakini tidak mendedahkan nama dan etnik pemilik perniagaan itu sementara mendapat pengesahan mengenai dakwaan dalam video ini.

Tidak jelas juga jenis pekerjaan yang dibuat kumpulan itu. Beberapa memakai topi keselamatan berwarna biru.

Seorang lelaki yang bercakap di hadapan kamera mendakwa mereka dapat merakam video tersebut secara rahsia kerana pengawal yang didakwa mereka bersenjatakan kayu dan pedang telah meninggalkan kawasan itu untuk membeli minyak petrol.

'Diugut pulang sebagai mayat'

Lelaki ini mendakwa kumpulan berkenaan telah menawarkan untuk membayar sendiri penerbangan pulang ke India, malahan meminta majikan mereka supaya tidak perlu membayar gaji mereka.

Bagaimanapun, lelaki itu mendakwa permintaan mereka tidak dipedulikan.

"Mereka kata jika ini cara kami mahu pergi, maka kami tidak akan dibenarkan pulang hidup-hidup. Katanya, kamu hanya boleh pulang sebagai mayat. Inilah cara mereka mengugut kami," katanya.

Seorang lelaki juga mendakwa seorang pengurus ditahan dalam keadaan terasing dan diancam dengan keganasan jika para pekerja membuat kesilapan.

"Kamu mesti tolong selamatkan kami, kami tidak ada jalan lain lagi," kata lelaki dalam video itu lagi.

 

Lihat Komen
ADS