Malaysiakini BERITA

Membugar ketuanan lobak

Al-Abror Mohd Yusuf  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PULASAN | Hidup ini - kalau mengikut 'fatwa' si Forrest Gump - adalah ibarat sekotak coklat. Dan kita akan selalu berdepan ketidaktentuan.

Memang begitulah lebih kurang hidup di dunia yang fana ini. Tidak ada yang pasti dan selebihnya kita berdoa dan berharap agar selalu mendapat yang terbaik.

Begitulah hidup, hinggalah kita tersedar bahawa kita berada di tanah sehebat Malaysia.

Di bumi ini boleh dikatakan segala-galanya berbeza daripada manusia yang ada di negara lain. Malah sebahagian daripada rakyat negara ini sebenarnya insan terpilih.

Mereka memiliki keistimewaan tertentu yang tidak ada - dan dicemburui - oleh orang lain.

Pada sebahagian daripada insan terpilih itu wujud pula segelintir orang yang mempunyai tahap intelektual yang superb. Atau dalam bahasa lebih kontemporari, ia dinamakan berakal lobak.

Jika ada yang beranggapan label "lobak" itu tidak lebih daripada sekadar penghinaan atau pelecehan, mereka ternyata melakukan salah tanggap yang amat besar.

Jika tidak diberi pencerahan segera, hampir saja kesilapan itu tidak wajar diampunkan.

Ada banyak manfaat

Berotak lobak bukan sesuatu yang hina. Bidalan yang lazim dalam budaya Melayu untuk merujuk kepada sifat pandir ialah berotak lembu. Lobak bukan lembu.

Orang yang menghina orang lain dengan istilah lobak diyakini berniat jahat, malah jahil dalam memahami psyche sesetengah Melayu yang ada di negara ini.

Dari segi bahasa, lobak ialah sejenis tanaman yang menyediakan khasiat amat banyak kepada manusia.

Pedulilah sama ada lobak yang dimaksudkan itu merah atau putih, ia ternyata mempengaruhi hidup manusia - atau sekurang-kurangnya sebahagian manusia terpilih.

Daripada mengurangkan risiko barah, hinggalah menurunkan potensi sakit jantung atau serangan angin ahmar dan banyak vitamin yang memang diperlukan badan, semuanya ada pada lobak.

Dari segi istilah pula lobak menunjukkan teladan bagaimana seseorang perlu bertindak, terutama dalam suasana politik negara yang memerlukan pragmatisme.

Jika ada isu yang sedang menghimpit ummah sekarang, jawapannya ada pada lobak itulah.

Ancaman terhadap hak orang Melayu, misalnya, atau kemelut masa depan seniman yang tidak lagi mendapat tawaran berlakon, atau muramnya operasi kontraktor yang tidak lagi mendapat kontrak kerajaan - jawapan yang dicari untuk mengatasi masalah itu ada pada lobak.

Lobak itu resmi hidupnya merendah dan senyap-senyap. Belum ada lagi ditemui lobak yang mencucuk ke langit dan daunnya menghunjam ke dalam tanah.

Laksana hantu raya

Jika dalam konteks Melayu, lobak ini agak dekat dengan resmi ubi. Dalam diam-diam, ia berisi.

Apabila tiba waktu yang memerlukan lobak-lobak itu akan muncul menyelamatkan keadaan, atau sekurang-kurangnya menghiburkan jiwa yang rawan.

Setelah ia muncul dan mendedahkan diri, terserah kepada manusia untuk memilih bagaimana memanfaatkan sekelian lobak berkenaan.

Antara ciri khusus untuk seorang lobak ialah:

* Berani - Ia meliputi pelbagai aspek, termasuk keberanian bertempik-tempik semasa menunjuk perasaan, mencabar polis atau kesanggupan menebalkan muka berpura-pura. Jika perlu 'lobak' itu mesti berani - dan dengan megah - menjilat ludah sendiri.

* Kreatif - Perbahasan aspek ini agak luas. Kreativiti itu mencakupi pelbagai bidang, seperti mencipta program atau kursus untuk para protege lobak, atau menjadi pereka fesyen untuk menghasilkan pakaian khusus pada hari penamaan calon pilihan raya.

Mengatasi segala keperluan dalam aspek kreatif ini ialah memanfaatkan media sosial. Di situlah bertumpunya pati segala kreativiti yang boleh disalurkan untuk memajukan ummah.

Dan 'lobak' yang mahir dan kreatif di media sosial memiliki kelebihan berbanding orang lain. Selain tampil menjadi diri sendiri mereka juga boleh menjelma sebagai hantu raya yang bertuan. Jika ada tuan, maka adalah pula habuan.

* Petah berhujah - Kemahiran berucap adalah bonus. Pedulilah di mana logika itu diletakkan, kerana ia tidak akan diperhatikan sangat jika cara penyampaiannya mempersona.

Semakin kerap bercakap semakin terserlah bakat dan wibawa sifat kelobakan itu. Jika ada orang berkata bahawa "semakin banyak bercakap maka semakin banyak silap" maka kenyataan itu tidak membawa ruh lobak.

Kelobakan akan makin terserlah dengan kekerapan seseorang membuka mulut dan berkata-kata, sama ada di media sosial atau di medan konvensional.

Dengan pemilihan jargon yang tertentu, sifat itu akan benar-benar menonjol dan berpotensi amat besar untuk sangat dikagumi.

Malah jangan terkejut jika yang akan menjadi pengagum itu ialah orang yang hebat-hebat serta bergelar doktor, hartawan, waima sesetengah ulama.


Baca Lokman: Asyraf bangsat gesa Zahid cuti seketika


Apa lagi yang diperlukan oleh negara ini ketika orang Melayu dan Islam sedang diancam dari segenap segi selain gaya kepemimpinan lobak yang hebat itu?

"Tiga perkara boleh meruntuhkan negara," kata Jijo Alfonso Pareira Abdullah dalam filem Rock Oo! yang lahir dari tangan Mamat Khalid.

"Pertama," katanya, "rasuah. Kedua tidak menepati masa dan ketiga cinggey."

Untuk menyelamatkan masa depan negara dan bangsa, hanya ada satu: kepintaran lobak.

Masalahnya cuma satu - sehingga kini belum ada mana-mana saintis yang berjaya menemukan otak pada seketul lobak. Tapi adakah itu suatu isu yang amat besar? Sudah tentu tidak.

Dalam politik di negara sebertuah Malaysia ini, pada banyak keadaan otak tidak diperlukan pun.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang sedang bercadang menulis watak adiwira bernama Lobakman.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.