Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lokman: Asyraf bangsat gesa Zahid cuti seketika
Diterbitkan:  Oct 25, 2018 10:58 PM
Dikemaskini: Oct 26, 2018 7:10 AM

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Lokman Noor Adam mencabar Datuk Asyraf Wajdi Dusuki agar meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda agar beliau boleh mencabarnya dalam pemilihan semula.

Menerusi sesi siaran langsung di Facebook, Lokman menyifatkan Asyraf tidak layak memegang jawatan itu, susulan seruannya agar Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercuti seketika daripada jawatan presiden sementara menunggu perbicaraannya di mahkamah selesai.

"Ketua pemuda Umno sepatutnya menjadi kepala dalam memperjuang nasib rakyat...Dalam mempertahankan agama Islam, hak Melayu, bahasa Melayu dan Yang di-Pertuan Agong.

"Tetapi malangnya ketika presiden kita ditindas dan ditekan oleh Mahathir, kita pula menjadi bangsat dan meminta presiden untuk bercuti. Agenda siapa ini, Asyraf?" katanya dengan nada keras.

Ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat pemuda Umno tadi, Asyraf berkata Zahid wajar bercuti agar dapat memberi tumpuan kepada kes pertuduhannya di mahkamah.

"Tidak adil bebankan Ahmad Zahid dalam keadaan Umno terus bergerak ke hadapan. Berehat bukan bukti dia bersalah atau lepaskan jawatan," katanya.

Lokman berkata jika benar langkah itu boleh menjamin kekuatan Umno, sebaiknya Asyraf turut meletakkan jawatan sebagai ketua pemuda yang gagal.

"Saya cabar kamu letak jawatan dan buat pemilihan semula. Saya akan lawan. Kalau kamu tak boleh memimpin pemuda untuk pertahankan parti, bubarkan," katanya lagi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hassan memberitahu pemberita bahawa Umno mempunyai prosedur operasi standard (SOP) pada tahun 2009 yang memerlukan pemimpin tinggi bercuti jika berdepan tuduhan jenayah di mahkamah.

Walau bagaimanapun, katanya, jika mereka kemudiannya didapati tidak bersalah, pemimpin berkenaan boleh meneruskan kedudukan mereka.

Minggu lalu, Ahmad Zahid didakwa dengan 45 tuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah jenayah dan menerima suapan berjumlah lebih RM42 juta serta 27 pertuduhan membabitkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih RM72 juta.

'Nabi tak diperintah bercuti'

Mengulas lanjut, Lokman berkata seruan Asyraf itu pasti akan menyebabkan perpecahan dalam Umno di saat usaha agar parti itu terus relevan giat dijalankan.

"Di saat kita usahakan Umno kembali relevan, kamu gagal laksana tugas sebagai ketua pemuda dan hari ini sibuk suruh Zahid bercuti.

"Ia sudah pasti undang perpecahan dalaman. Apa tujuan kamu laga-lagakan pemimpin?

"Apakah Rasulullah tidak pernah difitnah, dicerca dan dimaki musuh? Pernah diturunkan ayat yang memerintahkan Rasulullah bercuti?" soal Lokman.

 

Lihat Komen
ADS