Paling Popular
Terkini

Pertubuhan pendesak Melayu, PERKASA menggesa polis menyiasat tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin yang didakwa menulis artikel berbaur hasutan dan mengancam kedaulatan raja-raja Melayu.

Yang di-Pertua PERKASA Kelantan Asri Ali berkata, tulisan Kadir melalui blog itu dilihat merupakan penghinaan kepada raja-raja Melayu dan menghasut rakyat supaya membenci institusi diraja.

"Kita melihat tulisan tersebut jelas menghasut rakyat untuk ebrsikap prejudis terhadap istitusi raja-raja Melayu yang dilabekan sebagai boros dan membazir wang rakyat bagi menampung kehidupan mewah.

"Tulisan sebegini sangat berbahaya kerana boleh mencetuskan bibit-bit kebencian terhadap isntitusi raja dan berpotensi menggerakkan rakyat bertujuan menghina, mempersenda dan menghapuskan institusi diraja di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Kadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Kadir dalam tulisan bertajuk 'Selamat Bertakhta al-Aminul Karim pada mengulas mengenai upacara pertabalan Sultan Kedah, Tuanku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah pada 20 Oktober lalu.

Asri berkata penasihat media dan komunikasi Pejabat Perdana Menteri itu menulis antaranya seperti berikut:

"Lagu rasmi itu jelas menyatakan tempat raja adalah di atas takhta dan tanggungjawab raja adalah memelihara agama nabi kita.

"Ia tidak kata 'berpanjangan usia di bilik lembaga' dan 'pelihara konglomerat niaga baginda'," kata Asri yang memetik tulisan disiarkan 30 Oktober lalu.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk anggota parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul mendakwa artikel itu menghina raja-raja Melayu dan boleh mencetuskan prasangka buruk terhadap sultan Kedah.

Justeru Asri berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat mengambil perhatian dan bertindak susulan laporan yang dibuat.

"PERKASA menegaskan bahawa kita tidak sesekali berkompromi terhadap sebarang bentuk ancaman khususnya melibatkan institusi diraja yang selama ini menjadi payung rakyat," jelasnya.

Lihat Komen
ADS