Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP Sg Petani gesa polis siasat A Kadir Jasin bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Nov 1, 2018 3:08 PM
Dikemaskini: 7:12 AM

Anggota Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul menggesa pihak polis menyiasat tokoh wartawan Datuk A. Kadir Jasin di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung artikel yang didakwa mencetuskan prasangka buruk terhadap Sultan Kedah Al Aminur Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Beliau berkata artikel berkenaan dibuat menerusi blog A. Kadir yang tersiar pada Selasa lepas.

“Kalau kita perhatikan tulisan yang terpapar dalam blog beliau dengan jelas beliau memaparkan gambar Tuanku Sultan Kedah selain turut menceritakan bagaimana pada awalnya beliau seolah-olah memuji Tuanku Sultan Kedah namun diakhirnya wujud kata-kata berunsurkan fitnah.

“Bagi saya ia tidak wajar dikeluarkan oleh seorang wartawan senior malah dilantik menjadi Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan pemansuhan Akta Hasutan yang bakal dilaksanakan kerajaan, beliau berkata tindakan tetap perlu diambil sebelum pemansuhan akta itu berkuat kuasa.

“Memang kerajaan Pakatan Harapan janji akan mansuhkan tetapi isunya sekarang sebelum ia dimansuhkan harus lihat kembali bahawa kenyataan itu bukan sahaja di bawah Akta Hasutan tetapi turut melibatkan akta-akta lain kerana ini adalah masalah serius,” katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS