Paling Popular
Terkini

Presiden Perwakilan Mahasiswa India Universiti Kebangsaan Malaysia (PMIUKM), Thangeswaran Krishnan menjelaskan mereka tidak membantah forum kontrovesi anjuran Institut Alam dan Tamadun Melayu UKM (Atma) tetapi sebaliknya.

Menurut Thangeswaran, PMIUKM hanya mengemukakan cadangan penambahanbaikan pada forum tersebut dan tidak berniat membantah atau menolak forum itu.

Katanya persatuan itu tidak peduli dengan kontrovesi forum tersebut di luar UKM namun kesannya kepada penuntut dan imej universiti itu ercalar disebabkan salah faham yang tercetus.

"Saya tak kisah apa yang berlaku di luar, saya cuma kisah situasi dalam UKM.

"Saya tak mahu timbul perasaan tak senang atau salah faham di antara kaum India dengan orang Melayu.

"Sebab itu saya buat memorandum mencadangkan apa yang boleh dilakukan untuk elak isu seperti ini berlaku pada masa depan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Terdahulu Atma bercadang mengadakan forum mengenai perpindahan masyarakat India ke Malaysia pada esok.

Forum itu bertajuk Polemik Kehadiran Masyarakat India Di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi Atau Imigran? membariskan beberapa panel terdiri daripada pensyarah universiti.

Kena kukuhkan perpaduan

Bagaimanapun tiada seorang pun panel berbangsa India terlibat.

Atma kemudian berkata tajuk bagi forum berkenaan akan diubah sedikit.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy, kemudian berkata UKM patut meneruskan forum berkenaan walaupun tajuk asalnya "tidak berapa tepat."

Beliau yang juga bekas pensyarah di UKM berkata perbincangan akademik dalam suasana toleransi harus digalakkan.

"Saya menyokong forum ini. Kamu perlu membenarkan perkara-perkara ini berlaku dan rakyat bebas mengambil bahagian," kata Ramasamy kepada Malaysiakini

Thangeswaran berkata dalam memorandum tersebut PMIUKM mencadangkan supaya penganjur memilih perkataan atau bahasa yang lebih relevan untuk mengelah berlaku salah faham antara kaum.

"Pemilihan panelis juga harus terdiri daripada etnik yang pelbagai dan membahaskan topik-topik yang dapat mengukuhkan hubungan perkauman," katanya.

"Penganjur juga boleh mengubah suai topik sedia ada supaya selaras dengan keadaan semasa," katanya.

Lihat Komen
ADS