Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ramasamy: UKM patut teruskan forum migrasi kaum India
Diterbitkan:  Nov 9, 2018 4:54 PM
Dikemaskini: 8:54 AM

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P Ramasamy berkata, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) patut meneruskan forum mengenai penghijrahan masyarakat India ke Semenanjung Malaysia.

Katanya, walaupun tajuk asal dikatakan tidak berapa tepat, perbincangan akademik dalam suasana toleransi harus digalakkan.

"Saya menyokong forum ini. Kamu perlu membenarkan perkara-perkara ini berlaku dan rakyat bebas mengambil bahagian," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.

Forum di UKM pada Rabu depan itu pada asalnya bertajuk 'Polemik kehadiran masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau Imigran?'.

Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) kemudian mengumumkan akan menukar tajuk bagi dialog tersebut dengan tajuk yang baru.

Selain itu timbul isu mengenai empat panel yang terdiri daripada ahli ademik di kalangan kaum Melayu.

Atma dalam kenyataannya berkata institut itu telah menjemput ahli akademik berketurunan India tetapi ditolak.

Ramasamy bagaimanapun berkata beliau sanggup menyertai forum itu sebagai ahli panel sekiranya dijemput.

"UKM adalah universiti lama saya. Saya seorang profesor sains politik di sana. Jika mereka jemput saya, saya akan lihat sama ada saya ada kelapangan untuk hadir.

"Mungkin mereka fikir sejak saya jadi ahli politik sekarang saya tidak tahu apa-apa lagi," katanya sambil ketawa.

Ramasamy pernah terlibat dalam diskusi awam bersama Profesor di Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa Universiti Sains Malaysia, Datuk Dr Ahmad Murad Merican mengenai warisan dan imigrasi kaum India.

Ahmad Murad merupakan salah seorang ahli panel dalam forum di UKM itu.

Ramasamy berkata, beliau berpendapat penghijrahan kaum India ke Tanah Melayu, sama ada sebagai peniaga seribu tahun yang lalu, atau sebagai pekerja ladang yang dibawa oleh British, tidak lagi menjadi polemik dan merupakan sesuatu yang telah diterima.

Lihat Komen
ADS