Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
NGO bantah forum etnik hadir sendiri jumpa panel

Sebuah NGO yang tidak puas hati dengan penganjuran forum berkenaan etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) datang sendiri ke program itu hari ini.

Sejumlah enam anggota Persatuan Sri Berjaya Ipoh hadir ke forum bertajuk 'Kependudukan dan pergerakan etnik di kepulauan Melayu. Dari perspektif arkeologi, budaya dan sejarah' itu, diketuai presidennya VS Maniam.

"Kenapa forum ini diadakan?" soal Maniam ketika sesi soal jawab.

Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Prof Dr Supyan Hussin kemudian menjelaskan forum diadakan untuk mendidik masyarakat berkenaan sejarah negara berdasarkan realiti semasa.

"Ini proses untuk mendedah, mendidik apa yang dipelajari pelajar di bilik kuliah dan juga realiti semasa.

"Universiti terpanggil untuk memberi penjelasan kepada masyarakat jika ada naratif dan susur sejarah yang tidak kemas. ilmuan kena bercakap berdasarkan fakta," katanya.

Program itu pada mulanya mencetuskan bantahan beberapa pihak, terutama berkenaan tajuk asalnya iaitu 'Polemik kehadiran masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu: Migrasi atau Imigran?'.

Antaranya Perwakilan Mahasiswa India UKM (PMIUKM) yang mendesak tajuk itu diubah.

"Saya tak mahu timbul perasaan tak senang atau salah faham di antara kaum India dengan orang Melayu (dalam kampus)," katanya.

'Masyarakat kian prihatin'

Selain Supyan, panel lain adalah profesor penyelidikan dasar dan pengajian antarabangsa Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Ahmad Murad Merican, ahli arkeologi USM Dr Nasha Rodziadi Khaw, Timbalan Pengarah ATMA Prof Zuliskandar Ramli dan pakar tamadun India dari fakulti sejarah, seni dan sains sosial Universiti Malaya (UM) Dr Azharudin Mohamed Dali.

Antara perkara yang ditimbulkan adalah mengapa ia hanya melibatkan masyarakat India dan tiada pakar daripada kaum itu menjadi panel. Pihak penganjur menukar tajuk forum selepas bantahan itu.

Dalam sidang media selepas program, Supyan berkata tajuk diubah demi menjaga sensitiviti kaum.

"Kita faham sensitiviti, maka kita tukar ke tajuk lain. Ia bukan hanya merangkumi (pergerakan) kaum India tetapi kaum Cina. Ia lebih sesuai, menarik dan wacana ini juga dapat publisiti.

"Kita gembila bila masyarakat mula prihatin terhadap apa yang berlaku hari ini, dan mereka datang untuk dengar penjelasan daripada ilmuan," katanya lagi. 

Lihat Komen
ADS