Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pensyarah saran IPT ajar kursus khas Tamadun Melayu

Polemik berpanjangan mengenai sejarah orang Melayu di negara ini boleh diatasi jika wujud kursus berkaitan tamadun bangsa itu di universiti, kata seorang ahli akademik hari ini.

Menurut Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli, langkah mewujudkan kursus berkenaan boleh memberi kefahaman mengenai tamadun Melayu.

Keperluan itu dakwanya dirasakan lebih mendesak ketika ini apabila orang Melayu "diperkotak-katikkan."

"Sekarang orang Melayu diperkotak-katikkan (kerana tidak faham sejarah), justeru sudah masanya diwujudkan kursus Tamadun Melayu di universiti," katanya.

Menurut Zuliskandar ada pihak mendakwa tamadun Melayu adalah sama dengan bangsa lain sedangkan bangsa Melayu mempunyai kekuatan tersendiri.

Hal itu katanya boleh ditonjolkan dengan adanya kursus-kursus Tamadun Melayu.

Beliau berkata demikian dalam wacana Kependudukan dan Pergerakan Etnik di Kepulauan Melayu di Bangunan Canselori UKM, Bangi hari ini.

Ketara lepas era Mahathir

Dihubungi selepas wacana itu Zuliskandar berkata, ketika ini ada pihak mendakwa orang Melayu tidak menyumbang kepada pembetukan tamadun bangsa.

“Masyarakat kena faham peranan dan sumbangan orang Melayu membina tamadun alam Melayu.

"Sebenarnya kita (orang Melayu) banyak menyumbang dalam tamadun dan itu yang kita kena tonjolkan melalui cara kita kenalkan balik kursus berkaitan Tamadun Melayu,” katanya kepada Malaysiakini.

Untuk rekod forum yang berlangsung pada hari ini asalnya membicarakan topik lain namun mengundang kontroversi apabila tidak disenang sesetengah pihak.

Tajuk asal forum tersebut ialah 'Polemik Kehadiran Masyarakat India di Semenanjung Tanah Melayu'. Penukaran tajuk forum dibuat beberapa hari sebelum ia diadakan.

Turut hadir sebagai ahli panel adalah pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Murad Merican; Pakar Tamadun India Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Azharudin Mohamed Dali; pensyarah UKM, Dr Suffian Mansor dan Pengarah Atma, Prof Dr Supyan Husssin selaku moderator.

Sementara itu, dalam sidang media selepas wacana itu, Ahmad Murad mendakwa, sentimen ketara kaum bukan Melayu yang mempersoalkan kedudukan mereka di negara ini bermula selepas era Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri buat kali pertama.

Panel yang terlibat dalam forum hari ini (dari kiri) Ahmad Murad, Azharudin dan Zuliskandar.

Katanya sekitar 2002 kumpulan terbabit mendakwa selain orang Melayu mereka juga adalah pendudukan asal negara ini.

Menurut Ahmad Murad, keretakan sentimen semakin jelas ketika zaman Abdullah Ahmad Badawi dan kian diburukkan oleh penggunaan media sosial yang semakin meluas ketika ini.

“Dan juga pada zaman itu, ada krisis dalam pembetulan silibus dalam buku teks Sejarah Malaysia, ada pelbagai kritikan menyatakan ia mengutamakan Melayu serta Islam dan mengurangkan penglibatan bukan Melayu.

"Justeru timbul rasa tak puas hati dalam kalangan orang bukan Melayu," katanya.

Ahmad Murad yang juga profesor penyelidikan dasar dan pengajian antarabangsa USM berkata dalam tempoh dua dekad terakhir ini orang bukan Melayu mahukan kedudukan mereka diiktiraf dalam sejarah negara.

“Hinggakan mereka ghairah untuk menetapkan semula, menonjolkan identiti mereka.

"Mereka menyatakan orang Melayu pendatang, menyebabkan orang Melayu mempertahankan diri.

"Orang Melayu bukan pendatang, sebab datang itu maksudnya datang dari luar zon budaya Melayu, kerana orang Melayu memang wujud di Kepulauan Melayu,” katanya.

Lihat Komen
ADS