Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinasihatkan supaya mengenal pasti terlebih dahulu dalang penyebaran Bible sebelum terus ingin membuat sesi dialog bersama pihak gereja.
Exco Agama Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, hal itu perlu bagi mengelak timbulnya ketegangan antara agama dinegara ini.
“Kalau kita tak tahu siapa yang edar, macam mana kita nak ambil tindakan. Macam penyakit juga, kalau kita tak tahu kita sakit apa, kita juga tak tahu apa ubat yang harus diambil,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, Abdul Hadi dilaporkan berkata pihaknya terbuka untuk berdialog dengan pihak gereja berhubung edaran Bible yang berlaku di Pulau Pinang dan Kedah.
Anggota parlimen Maran itu berkata kebebasan untuk mengamal agama masing-masing di negara ini bukan bermakna boleh menyentuh sensitiviti umat Islam.
Edar Bible jam tiga pagi di perumahan Melayu
Abdul Hadi berkata demikian sebagai memberi malum balas terhadap tindakan enam individu yang mengedar Bible dan risalah Kristian di sekolah di Pulau Pinang dan Kedah baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ismail berkata terdapat suatu lagi kejadian pengedaran Bible pada 9 November lalu.
Katanya, kira-kira pada jam tiga pagi, empat orang individu dilihat mengedar Bible dalam bahasa Inggeris dan Tamil ke sekitar 70 rumah di kawasan perumahan Melayu di Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda.
Kes tersebut kini dalam siasatan polis, jelasnya.
Menurut Ismail lagi, ketika beliau masih dalam PAS sebelum ini, pihaknya mempunyai hubungan yang baik dengan paderi Kristian di negeri itu.
Malah katanya, beliau juga telah melakukan sesi dialog dengan kumpulan itu.

“(Abdul Hadi) nak dialog baguslah, kami pun dah buat dialog, kami dulu pun dalam PAS. Dari dialog yang lepas ni, mereka bukan ekstrim, depa tak pernah ekstrim,” katanya.
Menurutnya lagi, sesi dialog yang dianjurkan itu menekankan pentingnya berbaik-baik antara agama, tidak ekstrim dan saling menghormati antara satu sama lain.
“Tapi kalau ada kumpulan ekstrim yang lain saya tak tahu dan pada saya, kalau nak dialog itu bukan tunggu (ada kes) tapi sepanjang masa, untuk bina keharmonian negara dan membolehkan kita mahami antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Ismail mengingatkan masyarakat supaya tidak bimbang berhubung isu tersebut kerana ia kini dalam siasatan polis dan kerajaan negeri Kedah mempunyai peruntukan yang menghukum pesalah tersebut.
Katanya, jika Bible itu sengaja disebarkan pihak yang ingin mencetuskan provokasi, maka beliau berharap agar masyarakat tidak termakan hasutan berkenaan.
“Nasihat saya, kita kena kenal pasti punca jadi kalau betul yang diedar untuk tujuan sebar ajaran kristian, pihak berkuasa, polis akan siasat sebab ada peruntukan undang-undang.
“Kita rakyat biasa jangan susah hati sebab ada undang-undang dan akan ikut peruntukan undang-undnag dan dalam masa yang sama kalau perkara ini betul, dan betul nak wujud provokasi, kita harap rakyat faham dan jangan termakan hasutan.
“Memang provokasi bersentimenkan agama, bangsa senang pengaruhi orang. Jangan terpengaruh dengan provokasi macam ni. Kita mahu rakyat dapat maklumat sebenar,” katanya.
