Berita Malaysiakini

Polis rekod keterangan 6 individu edar Bible

Diterbitkan  | 

Polis telah merekod keterangan lima lelaki dan seorang wanita yang dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam seperti yang tular di laman sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata enam individu berusia 30 hingga 40-an itu dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes.

"Mereka mendakwa tujuan pengedaran kitab Bible itu adalah untuk memberi pendedahan tentang kebaikan dan pengajaran dalam agama Kristian malah mereka juga beranggapan pengedaran Bible itu tidak menjadi kesalahan kerana sebelum ini pernah membuat edaran di hotel-hotel, klinik dan hospital.

"Semua enam individu itu dibebaskan dengan jaminan polis," katanya kepada Bernama di Pulau Pinang hari ini.

Beliau berkata selain mereka, polis turut merekod keterangan daripada 23 individu antaranya pengetua sekolah, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah, pegawal keselamatan, pelajar sekolah dan saksi yang melihat kejadian itu.

Nik Ros Azhan berkata sehingga kini pihaknya telah menerima lapan laporan polis berhubung kejadian itu daripada pelbagai pihak termasuk waris pelajar sekolah itu dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pada Selasa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata terdapat aktiviti pengedaran kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam.

- Bernama