Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images

ULASAN l Kebelakangan ini ada pihak-pihak tertentu dengan penuh kebencian sedang membakar semangat keganasan dalam kalangan penyokong masing masing.

Kalau direnung serta dikaji dengan halus dan lojik isu yang dibangkitkan, ia hanyalah reaksi kepada sesuatu yang belum lagi menjadi kepastikan sebaliknya hanyalah cakap cakap yang liar.

Filem Polis Evo 2 dan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) adalah dua contoh isu yang sedang dibakar semangat hasutan untuk berdemonstrasi besar-besaran dan untuk boikot oleh pihak yang mempunyai motif politik.

Polis Evo 2 adalah filem yang telah diluluskan oleh Lembaga Penapis Filem Negara untuk ditayangkan. Plotnya berkisar aksi kepolisan Malaysia menentang sekumpulan pengganas telah memegang tebusan penduduk sebuah kampung.

Ada beberapa orang watak didalam filem tersebut memakai serban dan jubah. Skrip sebegini bukanlah luar biasa dan banyak kali pernah di buat filem.

Tidak semena-mena seorang ustaz dari sebuah parti politik Islam menyerang keras filem tersebut dan minta orang Islam mengutuk dan memboikot filem tersebut.

Apabila ditanya oleh wartwan sudahkah Ustaz tersebut menonton filem Polis Evo 2, ia menjawab belum! Bahkan sebenarnya filem itu belum pun ditayangkan di pawagam!

Cubaan cetus kebencian

Fobia dan hasutan keagamaan serta kaum apakah yang ingin dibakar oleh pihak-pihak ini. Lembaga Penapis Filem Malaysia yang begitu cermat tidak mungkin meluluskan filem yang boleh menimbulkan kebencian agama dan etnik. Lagi pun Polis Evo 2 adalah susulan filem Polis Evo yang tiada kontroversi apa pun.

Cubaan kedua untuk mencetus kebencian dan keresahan adalah tentang isu cadangan Icerd yang kononnya akan menggugat kedudukan Raja-Raja Melayu, umat Islam dan orang Melayu serta status Bumiputera di Malaysia.

Pihak kerajaan telah menyatakan akan menghalusi Icerd dengan terperinci dan jika bertentangan dengan perlembagaan negara ia tidak akan di terima. Sudah tentu sebagai kerajaan yang mempunyai kredibiliti ia mesti mengambil langkah mengikut peraturan yang teliti dan betul bukan berasaskan emosi semata-mata.

Walaupun jika Icerd di persetujui kerajaan, ia tidak dapat dilaksanakan tanpa pindaan perlembagaan negara yang memerlukan majoriti dua pertiga di mana Pakatan Harapan tidak mempunyai majoriti tersebut.

Kenapakah PAS dan Umno tidak maklumkan kepada rakyat?

Selain itu, pandangan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dan Naib Presiden, Husam Musa telah menyatakan tiada perlunya Icerd diterima di Malaysia.

Serba salah

Jadi apakah sebab sebenarnya PAS dan rakan akrabnya Umno mengapi-apikan isu ini sehingga telah diadakan demonstrasi di Terengganu dan himpunan di Perak seolah-olah Icerd akan diterima esok lusa dan Raja-Raja Melayu, Islam dan hak Melayu akan hapus terus? Kedua-dua Umno dan PAS telah bersetuju untuk berdemonstrasi bersama pada 8 Disember ini.

Di himpunan Pasir Salak, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah menyeru kepada Abdul Hadi Awang supaya PAS dan Umno "bercantum". Hadi pula dilihat serba salah untuk menyatakan persetujuan kerana takut ahli PAS menolak percantuman tersebut.

Itulah situasi sebenarnya. Zahid dan Umno yang sedang lemas perlukan PAS untuk survival. Zahid berdepan 45 pertuduhan rasuah dan kesalahan lain. Najib Razak dan beberapa lagi pimpinan Umno menghadapi puluhan pertuduhan rasuah dan salahguna kuasa. Mereka dan Umno perlu pelampung untuk selamatkan diri.

Tidak ingatkah ahli ahli PAS kata-kata Almarhum Nik Aziz Nik Mat - "Mengapa kita hendak menyelamatkan Umno yang sedang lemas?"

Tiga kali tangguh RUU 355

Sudah lupakah ahli PAS tentang sandiwara isu RUU 355? Tiga kali RUU 355 dibentang dan tiga kali RUU 355 diminta tangguh! Umno berkuasa penuh semasa itu. Sandiwara apakah itu sebenarnya di antara PAS dan Umno?

Icerd bukanlah isu utama yang real atau yang sebenarnya mengancam orang Melayu dan Islam terutamanya di Terengganu dan Kelantan.

Antara isu paling kritikal menghadapi orang Melayu dan Islam adalah ancaman dadah. Saya baru menghadiri mesyuarat nasional dadah minggu lalu di mana 3 negeri tertinggi penagih dadah adalah Kelantan, Terengganu dan Pahang - semuanya negeri majoriti besar Melayu. Kadar ketagihan dadah adalah lebih dari 95 peratus anak Melayu Islam kita.

Ada kaitan besar masalah mat rempit dan dadah pil kuda yang membawa maut melalui perlumbaan dan juga overdose.

Nelayan Terengganu dan Kelantan terus antara rakyat termiskin dan juga gangguan nelayan haram Vietnam.

Mana suara ahli Parlimen PAS dan Umno semasa saya membela nasib kemiskinan nelayan dan masalah pencerobohan Vietnam beberapa tahun lepas? Ini isu yang "real", bukan momokan perkauman yang akan membantu bangsa Melayu.

Bukankah masalah penagih dadah dan nelayan majoritinya masalah Melayu - Islam? Kenapa tidak duduk bersama, "bercantum" dan bersatu untuk menangani isu isu tersebut? Bukankah ini adalah masalah yang lebih lama dan kritikal?

Jawabannya ialah ia masalah yang Umno telah abaikan. PAS pula senyap.

Isu dadah, nelayan

Isu Icerd timbul semasa Pakatan Harapan memerintah. PAS dan Umno hanya mahu isu dipolitikkan. Bukan kerana Islam dan Melayu tergugat.

Isu dadah dan masalah nelayan adalah isu lebih lama orang Islam dan Melayu terancam yang mereka tidak endahkan, kerana kurang political millage dalam isu ini.

Icerd adalah isu emosi untuk diekpolitasikan bagi kepentingan politik PAS dan Umno untuk menyerang Pakatan Harapan. Memomokkan ketakutan orang Melayu kepada pemerintahan Pakatan Harapan.

Apabila PAS berdiri di atas pentas bersama Umno hendak menyelamatkan Islam dan Melayu, rakyat akan bertanya adakah ia rakan seperjuangan yang sesuai?

Fakta fakta masalah Melayu dibawah ini masih diingati rakyat -

a) Felda - Najib Razak - Umno

b) Felda - Isa Samad - Umno

c) MARA -Anuar Musa - Umno

d) Tanah Rezab Melayu - Tinggal hanya 12 peratus selepas 62 tahun di bawah Umno.

Adakah PAS lupa itu semua?

Laungan Hidup Islam dan Hidup Melayu ... tidak sama dengan Hidup PAS dan Hidup Umno.

Bukan semua orang Islam dan Melayu di dalam PAS dan Umno.


DATUK RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah anggota Dewan Negara, pengerusi Pakatan Harapan Terengganu dan timbalan menteri di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS