Malaysiakini
BERITA

Lim: Subsidi bersasar perlu bantu petani, nelayan 'tulen'

Diterbitkan

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menjamin kerajaan kekal komited dalam membantu petani, pekebun kecil, pesawah dan nelayan, dan subsidi yang diperuntukkan benar-benar sampai kepada golongan itu.

"Kerajaan komited kepada pertanian sebagai sektor ekonomi strategik memandangkan sumbangannya kepada pertumbuhan ekonomi negara serta jaminan keselamatan bekalan makanan negara.

"Penting untuk bantuan subsidi ditukar kepada pendekatan bersasar yang membantu golongan yang tulen berusaha dan perlukan bantuan, bukan pendekatan tersasar sekarang yang membazirkan ratusan juta kerana memanfaatkan mereka yang tidak layak," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, beberapa pihak mengkritik Belanjawan 2019 kerana didakwa mengenepikan kepentingan golongan tersebut.

Antaranya bekas perdana menteri Najib Razak yang menyifatkan belanjawan tersebut untuk golongan bandar sahaja.

Antaranya beliau mendakwa pembentangan belanjawan itu langsung tidak menyebut golongan petani, peladang dan nelayan, serta peruntukan untuk sektor pertanian jauh lebih rendah berbanding belanjawan 2018 ketika pentadbiran BN.

Lim berkata, perbezaan peruntukan untuk pembangunan luar bandar dilihat berkurangan akibat pemindahan agensi berkaitan ke kementerian lain.

Melalui penjemaan semula Kementerian Pembangunan Luar Bandar, katanya, agensi seperti Risda, Felcra dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak lagi di bawah kementerian itu.

Risda dan Felcra kini di bawah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi manakala Jakoa di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga berkata peruntukan untuk agensi yang melibatkan pembangunan luar bandar seperti Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Peneraju) telah ditambah, daripada RM90 juta untuk 2018 kepada RM210 juta untuk 2019.

"Selain itu, peruntukan pembangunan Felda juga dinaikkan daripada RM160 juta pada 2018 kepada RM260 juta pada 2019," katanya lagi.

Beliau turut menafikan dakwaan peruntukan untuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) dipotong dalam Belanjawan 2019.

Lim berkata pengurangan kira-kira RM2 bilion perbelanjaan mengurus Mara - daripada RM3.5 bilion pada 2018 kepada RM1.3 bilion pada 2019 - kerana perbelanjaan biasiswa dan pinjaman pendidikan dipindah klasifikasinya.

"Klasifikasi daripada perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan, memandangkan ia perbelanjaan dalam membangunkan modal insan Bumiputera.

"Hakikatnya, jumlah peruntukan perbelanjaan mengurus dan pembangunan Mara kekal berada di tahap RM3.7 bilion pada 2019," katanya dalam kenyataan.

Penjelasan sama pernah diberikan Menteri Pembangunan Luar Bandar Rina Harun ketika menjawab dakwaan Khairy berhubung perkara itu.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.