Paling Popular
Terkini

PULASAN | Sekonyong-konyong heboh dan riuh-rendahlah akan sebuah nama Dato Maharajalela.

Daripada tokoh bergelar kerabat anugerah orang istana yang berjasa menyahkan seorang penjajah, tiba-tiba dikhabarkan Dato yang itu sebenarnya alim lagi arif akal fikirannya.

Didedahkan oleh beberapa orang mutakhir ini Dato Maharajalela yang seorang itu sebenarnya mufti. Dalam akan ilmu pengetahuan dan makrifatnya. Dekatlah dia kepada Maha Pencipta.

Menariknya pembongkaran identiti sebenar Dato Maharajalela itu dibuat ketika negara ini sedang bergelora dengan semangat kemelayuannya.

Angkara Icerdlah, apa lagi.

Syahdan dinamakan orang di negara atas angin sana bahawa Icerd itu namanya Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum. Adalah ia digubal dengan niat yang mencurigakan.

Di tanah sehebat Malaysia ini, apa lagi yang boleh membakar kesedaran dan kebangkitan kaum Melayu kalau bukan tentang semangat Melayu juga.

Disiram pula akan bara itu dengan sentimen agama. Mufti itu penjaga agamalah.

Apabila ia dibangkitkan - misalnya oleh Tuan Guru Presiden PAS di Pasir Salak baru-baru ini - nampaknya semacam tidak ada lagi alasan untuk orang Melayu tidak menyokong PAS dan Umno.

Tidak ada.

Kecualilah bagi orang yang mahu berfikir sedikit lama dan mencari sedikit jauh daripada sekadar omelan atau bisikan dalam mimpi.

Mufti berumur lebih 100 tahun

Arakian dimaklumkan kepada sekalian umat, Dato Maharajalela itu sesungguhnya sebuah gelaran kebesaran cuma. Akan nama sebenarnya ialah Maharajalela Pancung Tak Bertanya.

Kata seorang pensyarah universiti yang didakwa akan dia menumpang populariti universitinya ketika menulis untuk Malaysiakini, gelaran itu memberi lesen besar kepada batang tubuh pembawanya.

"Sesiapa yang diberi gelaran itu," katanya, "dibenarkan membunuh" oleh penguasa.

Syahdan tahu benarlah kita akan jahatnya penguasa dulu menyembunyikan sejarah. Tidak ada dikatakan bahawa Dato Maharajalela itu seorang mufti.

Mujur juga ada Icerd yang menjelma. Mujur juga ada himpunan perpaduan di Pasir Salak sana.

Tahulah kita bahawa sejarah itu dipesongkan oleh sesetengah orang.

Cuma elok juga diperhatikan kenyataan ini: Akan Dato Maharajalela yang menjadi mufti itu dikhabarkan kemungkinan besar dinamakan akan dia oleh orang tuanya sebagai Daeng Selili.

Dia dilantik menjadi mufti sultan Perak yang bertakhta antara 1728 hingga 1756. Sultan Muzaffar Shah ketiga namanya, kalau tak silap hamba.

Tempat didakwa Birch dibunuh di tepi Sungai Perak

Arakian kematian si durjana bernama JWW Birch itu berlaku pada 1875. Mengikut ilmu kira-kira, jarak di antara 1756 hingga 1875 itu ialah tidaklah lama. Hanya lebih kurang 119 tahun akan lamanya.

Tetapi dalam hikayat orang Melayu yang serba istimewa, bukanlah aneh untuk seseorang hidup sehingga lebih 100 tahun, bukan?

Atau pun satu lagi kemungkinan ialah Dato Maharajalela yang membunuh Birch si durjana itu bukanlah Daeng Selili, tetapi Pandak Lam diberi akan dia namanya.

Mengikut perhitungan lemah hamba jika si mufti dan si pemberani yang menghumam senjata ke tubuh Birch adalah orang yang sama, maka ketika pegawai Benggali Putih itu menghembus nafas terakhirnya dia sudah berusia lebih 130 tahun adanya.

Kipas biar panas

Dan untuk makluman semua pada zaman Birch itu sudah ada pegawai istana yang mengelolakan hal-hal agama. Imam Paduka Tuan gelarannya.

Akan hal-hal berkaitan Islam - misalnya zakat, munakahat dan seumpamanya - diuruskan oleh Imam Paduka Tuan itulah.

Dan Imam Paduka Tuan itu juga sejenis gelaran juga. Dia termasuk dalam kumpulan Orang Besar Berlapan Perak.

Jika tuan hamba mahu tahu pada zaman Abdul Hadi Awang dan Tajuddin Abdul Rahman menjadi pendekar Melayu ini Imam Paduka Tuan itu diberikan gelarannya kepada Dr Afifi al-Akiti adanya.

Kubur Seputum (atau Si Putum) di depan Kompleks Sejarah Pasir Salak

Tapi itulah. Apalah sangat dengan hakikat berbanding hikayat. Ketika sesetengah percaturan politik negara ditentukan sedikit sebanyak oleh mimpi, apa sangatlah yang perlu digusarkan jika sentimen perkauman dikipas-kipas biar menyala baranya.

Kalau satu dua kipas tidak berjaya, maka orang Melayu perlu berganding baju menjadi pengipas biar timbul ketegangan yang lebih nyata.

Mudah-mudahan sampai sejuta orang turun ke Kuala Lumpur apabila PAS dan Umno berarak bersama-sama. Melayu pada fahaman sesetengah mereka - memang kena begitu.

Pemandangan Sungai Perak dari Kompleks Sejarah Pasir Salak

Ketika Islam semakin dikenali sebagai agama yang damai dan sejahtera, satu anutan yang membuat pengikutnya berkepala dingin dan waras, sentimen Melayu menjadikan sesetengah kita cepat benar melatah.

Dan mahu segera meratah.

Seperti kata-kata Sasterawan Negara A Samad Said beberapa dekad silam:

Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja

bila tiba detik kembalilah kita kepada-Nya

kita datang ini kosong tangan kosong dada

bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala


Pada tetamu yang datang dan kenal jalan pulang

bawalah bakti mesra kepada tuhan kepada insan

pada tetamu yang datang dan lupa jalan pulang

usahlah derhaka kepada Tuhan kepada insan


Bila kita lihat manusia lupa tempat

atau segera sesat puja darjat puja pangkat

segera kita insaf kita ini punya kiblat

segera kita ingat kita ini punya tekad


Bila kita lihat manusia terbiar larat

hingga mesti merempat ke biru laut ke kuning darat

harus kita lekas segera sedar pada tugas

harus kita tegas sembah seluruh rasa belas


Kita datang ini satu roh satu jasad

bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat

kita datang ini satu roh satu jasad

bila pulang nanti bawalah bakti padat berkat.

Tapi itulah. Kamu hanya teringat kepada sajak ketika kamu betul-betul terdesak.

Lantas kamu pun berkata: Sarang tebuan jangan dijolak. Apakah yang dimaksudkan "jolak" itu? 

Entahlah, hamba pun tidak pasti akan mafhumnya. Cuma hamba terdengar tuan guru presiden itulah yang melafazkannya dalam pantun di Pasir Salak tempoh hari.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang lahir di Pasir Salak tapi sangat tidak gemar orang menyalak-nyalak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS