Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
AGC rayu tambah hukuman kes hasutan Tian Chua - Peguam

Tindakan Pejabat Peguam Negara (AGC) mencabar rayuan Naib Presiden PKR Tian Chua di mahkamah tinggi berhubung sabitan kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948 dilihat sebagai mengulang sikap era pentadbiran BN, kata peguam N Surendran.

Menurut N Surendran yang mewakili Tian Chua, walaupun rayuan dibuat kepada AGC untuk menggugurkan kes ini, namun AGC bukan sahaja mencabar rayuan berkenaan tetapi berusaha untuk menambah hukuman terhadap bekas MP Batu itu.

Hal ini akan dikemukakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada jam 9 pagi esok.

"Kami telah membuat permohonan bertulis bagi pihak Tian Chua kepada AGC yang meminta mereka supaya tidak meneruskan pendakwaan ini, tetapi perkara ini ditolak dalam surat yang ditandatangani oleh Timbalan Ketua Rayuan dan Pendakwaan (di AGC) Ishak Mohd Yusof.

"[...] Apa yang lebih buruk adalah mereka (AGC) akan meneruskan rayuan balas mereka untuk meningkatkan hukuman penjara yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur," Surendran memberitahu Malaysiakini ketika dihubungi mengenai kes tersebut hari ini.

Pada September 2016, Tian Chua dijatuhkan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 selepas didapati bersalah membuat kenyataan menghasut di suatu majlis forum awam pada 2013.

Gesa AGC ubah pendirian

Dengan meneruskan pendakwaan kes terhadap Tian Chua, Surendran berkata AGC mengulang kembali cara pentadbiran BN sebelum ini.

"Dengan tindakan mencabar rayuan (Tian Chua) itu, mereka (AGC) mencerminkan kuasa dan sikap yang sama ketika zaman pemerintahan BN dulu.

"Mereka sepatutnya menegakkan kedaulatan undang-undang dan hak-hak asas rakyat seperti kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun secara aman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

"Peranan timbalan pendakwa raya, yang memainkan peranan aktif di bawah BN dalam pendakwaan dan rayuan yang tidak demokratik dan tidak berasas, mesti dikaji semula, dan mereka terus memegang jawatan tinggi di dalam pejabat (AGC)," katanya.

Surendran menggesa AGC mengubah pendiriannya mengenai kes ini apa lagi dengan mengambil kira janji kerajaan Pakatan Harapan untuk memansuhkan Akta Hasutan.

Terdahulu, peguam daripada Lawyers for Liberty, Eric Paulsen juga menyelar tindakan AGC dalam kes Tian Chua.

"Anda fikir di Malaysia Baru terdapat kebebasan bersuara dan tidak akan dipenjarakan kerana hanya bercakap, apa lagi buat seseorang seperti Tian Chua yang bersuara mengenai pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang tidak bebas dan tidak adil.

"Walaupun kebanyakan, jika tidak semua (kes) pertuduhan hasutan telah ditarik balik di era Malaysia Baru, saya tidak pasti kenapa AGC menegaskan untuk meneruskan rayuan terhadap (kes) Tian Chua [...]," katanya.

Malaysiakini sedang menghubungi AGC bagi mendapatkan maklum balas.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS