Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy daripada asakan demi asakan supaya beliau meletak jawatan susulan kenyataannya sebagai pengerusi Hindraf lebih sedekad lalu.

"Kita semua ada masa lalu. Macam saya, saya dari Umno.

"Tidak bolehlah hanya kerana saya dari Umno, sekarang saya tidak boleh bersama Pakatan Harapan," kata Mahathir.

Perdana menteri berkata kenyataan kontroversi Waythamoorthy mengenai dakwaan diskriminasi terhadap kaum India di Malaysia timbul akibat kekecewaan dan suatu cubaan untuk menarik perhatian masyarakat antarabangsa terhadap isu-isu mereka.

"Tapi, itu dulu. Sekarang, beliau ada di dalam kerajaan.

"Dan beliau sudah berubah daripada apa yang beliau katakan pada waktu itu," kata Mahathir pada sidang akhbar selepas melancarkan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa (MAHA) 2018 di Serdang.

Petisyen bukan arahan letak jawatan

Waythamoorthy sendiri telah menjelaskan klip video yang digunakan untuk menuduhnya mencemarkan nama baik Malaysia merupakan rakaman dari 10 tahun yang lalu, suatu keadaan yang sangat berbeza daripada pentadbiran sekarang.

Tidak lama selepas perhimpunan Hindraf pada November 2007, Waythamoorthy, dalam wawancara dengan saluran televisyen Belanda, mengkritik dakwaan diskriminasi terhadap etnik minoriti, terutamanya kaum India di Malaysia.

Mengulas lanjut, katanya, rakyat perlu memberi peluang kepada menteri yang ditugaskan menjaga perpaduan rakyat itu menjalankan tugasnya sebagai anggota kabinet.

Malah kata, Dr Mahathir, petisyen yang menggesa menteri berkenaan meletak jawatan bukan satu keperluan mahupun arahan daripada beliau.

“Rakyat boleh buat petisyen tetapi petisyen bukan penentu arahan untuk sesiapa meletak jawatan. Masa itu beliau (Waythamoorthy) amat kecewa dan buat kenyataan dengan cuba tunjuk pada orang asing bahawa Malaysia tiada keadilan.

“Beliau kini tidak pegang apa lagi yang dikatakan dahulu. Dulu orang panggil saya mahazalim, tapi kini mahazalim jadi pemimpin," katanya.

Selain ucapan kontroversi, Waythamoorthy juga mencetuskan tindak balas kerana pendiriannya mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Pada masa sama, terdapat juga petisyen balas yang dilancarkan netizen untuk menyokong usaha Waythamoorthy mengesahkan instrumen hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS