Malaysiakini
BERITA

Penjelasan Najib isu Jho Low

Najib Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Nov 2018, 11:31 tengahari

ULASAN | Kita tahu, adalah sangat mudah untuk mendapat persepsi yang salah apabila kita hanya membaca tajuk sahaja.

Sebab itu betapa pentingnya untuk kita tonton keseluruhan temubual bagi memahami konteks jawapan saya dan bukan hanya tertumpu kepada satu bahagian sahaja sehingga hilang konteks keseluruhan jawapan.

Untuk itu, saya ingin menjelaskan lebih lanjut mengenai salah satu tajuk mengenai temubual saya dengan Sinar Harian hari ini yang menggunakan tajuk “Jho Low menipu saya” atau “Kita telah ditipu oleh Jho Low.”

Tajuk itu timbul selepas penemubual itu bertanya kepada saya:"Adakah dengan ini kita mengakui kita telah ditipu oleh jutawan Jho Low ini?". 

Ini adalah soalan lanjutan daripada soalan mengenai 1MDB.

'Jho Low tak pernah kerja 1MDB'

Berikut adalah jawapan saya:

“Ya, kalau begitu, memang kita (sudah ditipu), itulah kesimpulan kalau kita ambil kira apa yang kita tahu hari ini, itu sebenarnya.”

“Maksud saya ialah jika apa yang dinyatakan hari ini adalah satu kebenaran iaitu perkembangan-perkembangan baru yang kini meluas seperti pegawai tinggi Goldman Sachs didakwa oleh DOJ dan kerajaan Abu Dhabi menyaman Goldman Sachs maka jelas Jho Low telah menipu.

“Perlu diingat bahawa 1MDB tidak pernah berurusan secara terus dengan Jho Low dan setiap perjanjian dan pembayaran wang 1MDB ialah kepada JV urusniaga seperti PetroSaudi dan Aabar yang dimiliki oleh kerabat diraja ataupun kerajaan negara-negara masing-masing.

“Jho Low juga tidak pernah bekerja untuk ataupun mewakili 1MDB. Sebaliknya, beliau mewakili pihak Arab kerana dari dulu lagi, beliau rapat dengan mereka.”

Itu yang saya jelaskan pada wawancara dengan Sinar Harian.

Isu 1MDB memang kompleks tetapi mereka yang mengkaji ataupun berpengetahuan dengan lebih mendalam pasti faham bahawa setiap aliran wang dari 1MDB yang didakwa hilang ialah selepas wang itu dipindahkan kepada ataupun dijamin oleh pihak Aabar dan pemiliknya, IPIC.

IPIC ialah satu syarikat milik kerajaan Abu Dhabi yang amat besar, jauh lebih besar dari segi aset berbanding Khazanah Nasional.

Mereka yang mengikuti perkembangan 1MDB juga tahu bahawa Jho Low didapati telah berpakat dengan pengurus atasan syarikat IPIC dan Abu Dhabi serta bank pelaburan Goldman Sachs untuk menyalurkan sebahagian dana yang telah dipindah oleh 1MDB kepada Aabar dan IPIC kemudiannya kepada beliau.

Oleh itu, kerajaan BN dulu pernah membuat dua perjanjian penyelesaan dengan IPIC pada tahun 2015 dan 2017 bagi mendapatkan kembali setiap sen wang yang didakwa hilang dari 1MDB.

Dan semalam, syarikat IPIC dilaporkan bahawa mereka telah menyaman Goldman Sachs untuk membayar gantirugi kerana dituduh telah bersuhabat untuk menipu IPIC.

Jika semua tuduhan ini benar maka Jho Low mungkin telah berpakat dengan Goldman Sachs dan pengurus atasan IPIC untuk menipu syarikat IPIC.

Sebab itu jawapan saya di awal wawancara itu ialah, “itu saya kata tindakan perlu diambil, kalau jelas dia (Jho Low) lakukan kesalahan. Masa itu kita telah lantik peguam, syarikat audit yang terkenal, dan Goldman Sachs, sebuah investment bank (bank pelaburan) yang begitu tersohor peringkat global.

“Tanggung jawab bank (itu) ialah menjaga kepentingan Malaysia, jadi kalau dia gagal menjaga kepentingan Malaysia, macam mana saya nak tahu, patut dia beritahu ada sesuatu yang tidak betul."

Begitu juga tanggungjawab peguam-peguam dan syarikat audit.


BACA: Mungkin kita sudah ditipu oleh Jho Low, kata Najib


Satu lagi kesalahan Malaysiakini ialah dalam perenggan terakhir apabila menulis:

“Dia (Goldman Sachs) jelas telah gagal (dalam) tanggungjawabnya, misalnya Goldman Sachs, maknanya sistem yang kita wujudkan nak jaga kepentingan invesment bank, peguam, juru audit semua, mereka telah tidak memainkan peranan yang sebenarnya.”

Begitu juga dengan peguam-peguam dan syarikat audit yang diupah oleh 1MDB.

Itulah konteks jawapan saya pagi tadi. Sekali lagi, sesuatu jawapan itu perlu dibaca atau ditonton pada konteks keseluruhan dan bukan secara berpilih.


NAJIB RAZAK ialah bekas perdana menteri dan anggota parlimen Pekan.

Tulisan ini asalnya hantaran Facebook beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.