Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kesatuan dakwa TV3 buang pekerja tak ikut undang-undang
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 10:12 AM
Dikemaskini: 5:55 AM

Media Prima yang memiliki stesen televisyen TV3 memberhentikan pekerjanya tanpa mengikut lunas undang-undang, dakwa Presiden Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3, Khairuzzaman Mohammad.

Khairuzzaman dalam suatu kenyataan hari ini berkata pihak kesatuan sekerja menggesa kerajaan campur tangan membatalkan tindakan pihak majikan berkenaan.

"Kesatuan menggesa campurtangan Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan untuk membatalkan tindakan pengurusan Media Prima ini dalam melaksanakan pemberhentian kerja ini yang tidak mengikut lunas undang-undang," kata kenyataan itu.

Menurut Khairuzzaman pertubuhan pekerja syarikat berkenaan membantah langkah pembuangan pekerja yang dibuat pihak majikan itu, mendakwa tiada perbincangan diadakan.

"Kesatuan Sekerja Kakitangan TV3 dan Kesatuan Eksekutif TV3 membantah perlaksanaan pemberhentian 190 pekerja teknikal Jabatan Eng dan Props serta proses MSS secara paksa seramai 43 orang kepada Jabatan Berita dan Perkhidmatan Pengurusan.

"Ia melanggar Perjanjian Bersama kedua-dua Union kerana tiada perbincangan diadakan.

"Juga melanggar kod amalan Code of Conduct for Industrial Harmony 1975 dengan gagal berunding dengan pihak union dan melaksanakan langkah-langkah awal seperti pemotongan gaji, mengurangkan waktu kerja dan mengawal kerja lebih masa," kata kenyataan itu lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas pihak pengurusan Media Prima mengenai dakwaan pihak kesatuan sekerja ini.

Kerugian bersih lebih RM600 juta pada 2017

Media Prima Bhd mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM669.66 juta untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2017 berbanding kerugian bersih sebanyak RM69.78 juta pada 2016.

Bagaimanapun, dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Februari tahun ini kumpulan berkenaan berkata ia mencatatkan perolehan sebanyak RM1.19 bilion bagi tempoh berkenaan, berbanding RM1.28 bilion pada tahun kewangan 2016.

Media Prima dilaporkan berkata perolehan susut sebanyak tujuh peratus berbanding tahun kewangan sebelumnya, kesan daripada iklan dan jualan akhbar yang rendah, selain pertukaran kepada media digital yang memberikan kesan ketara kepada perniagaan media tradisional kumpulan.

Laporan itu menyebut Media Prima akan meneruskan proses transformasinya untuk masa depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS