Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pinda' audit 1MDB: Parlimen patut disiplinkan Najib, kata Kit Siang
Diterbitkan:  Nov 26, 2018 10:48 AM
Dikemaskini: 2:48 AM

Parlimen patut merujuk bekas perdana menteri Najib Razak kerana didakwa meminda laporan Jabatan Audit Negara mengenai 1MDB sebelum ia dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat, gesa pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang.

Hal ini susulan kenyataan Ketua Audit Negara Madinah Mohamad yang menyebut Najib dan beberapa orang lain telah mengarahkan untuk memadam beberapa bahagian dalam laporan itu.

"Ini merupakan pendedahan yang paling mengejutkan dan penyalahgunaan kuasa secara mutlak yang menyerang asas integriti parlimen dan patut dipandang paling serius oleh semua rakyat Malaysia, khususnya ahli-ahli parlimen.

"Sekiranya dibuktikan Najib telah mengubah laporan bekas ketua audit negara mengenai 1MDB, maka terpulanglah kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk mencadangkan kepada Parlimen hukuman yang patut dijatuhkan kepada Najib," kata Lim dalam ucapannya semalam.

Selain bahagian yang menyebut ahli perniagaan Low Taek Jho, pentadbiran BN turut mengarahkan beberapa lagi pindaan dibuat terhadap laporan audit 1MDB, kata ketua audit negara.

Ia termasuklah perenggan berkenaan penyata kewangan 1MDB bagi 2014 yang diarahkan sendiri oleh bekas perdana menteri Najib Razak.

Madinah berkata, Najib membuat arahan itu dalam mesyuarat pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri bekas ketua setiausaha negara Dr Ali Hamsa, bekas ketua setiausaha sulit perdana menteri Shukry Salleh dan bekas ketua audit negara Ambrin Buang.

"Bekas perdana menteri telah mengarahkan pengguguran perenggan yang mengandungi dua versi penyata kewangan 1MDB bagi tahun berakhir 2014, dan mengarahkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

"Pada 23 Februari (keesokannya), dalam mesyuarat di pejabat ketua setiausaha negara yang dihadiri Ali, Shukry dan Ambrin, pasukan audit 1MDB dimaklumkan kerajaan telah mengkategorikan laporan akhir itu sebagai satu krisis," katanya

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sedang menyiasat dakwaan meminda laporan 1MDB ini.

Lihat Komen
ADS