Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mengecam tindakan perusuh memukul anggota bomba di sebuah kuil di Subang Jaya awal pagi tadi dan menganggapnya keterlaluan.

Kata Zuraida juga meluahkan rasa kecewanya dan mempersoalkan ke mana hilangnya rasa hormat pihak terbabit terhadap anggota bomba yang selama ini mencurahkan bakti kepada rakyat dalam pelbagai situasi.

“Kami kecewa kerana anggota bomba dicederakan.

"Dalam apa-apa situasi kecemasan - banjir, kebakaran, atau pembunuhan - anggota bombalah yang dipanggil.

“Kerja bomba yang tak mendapat pengiktirafan, tapi mereka tak dihormati, (mereka) turun untuk membantu tetapi dipukul dan dicederakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di parlimen hari ini.

Pada kira-kira jam 1 pagi tadi, petugas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dilaporkan diserang ketika tiba bagi memadamkan kebakaran berhampiran kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Anggota bomba terbabit dilaporkan cedera parah selepas ditarik keluar dan dipukul oleh perusuh berhampiran kuil tersebut.

Muhammad Adib

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) di Pusat Perubatan Sime Darby (dahulu Pusat Perubatan Subang Jaya). 

Kata Zuraida, siasatan terperinci haruslah dilakukan dan pihak yang keterlaluan perlu diambil tindakan tegas.

Mengulas lanjut, beliau berpendapat rusuhan yang tercetus sejak semalam sepatutnya boleh dielakkan jika rundingan awal dilakukan melibatkan semua pihak yang terlibat.

“Isu ini sudah lama tertunggak, sepatutnya ditangani lebih awal lagi dengan menganjurkan rundingan dengan pihak pemaju, penduduk dan pihak kuil bagi mencari penyelesaian.

“Tak payahlah tunggu lambat begini. Bila tak duduk bersemuka, belajar untuk berdepan masalah dan menyelesaikannya, ini yang terjadi. [...] Saya harap insiden ini jadi pengajaran kepada semua pihak,” katanya.

Zuraida turut mengingatkan agar semua pihak dapat mengikut perlembagaan dan undang-undang, serta tidak mengambil tindakan mengikut selera sendiri.  

Lihat Komen
ADS