Paling Popular
Terkini
story images
story images

Seorang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia cedera parah selepas diserang sekumpulan orang yang berkumpul berhampiran kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya awal pagi tadi.

Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, kini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di Subang Jaya.

Difahamkan anggota keluarga dan tunangnya menemani anggota JBPM terbabit.

Malam tadi Malaysiakini menyaksikan petugas JBPM diserang ketika mereka tiba bagi memadamkan kebakaran berhampiran kuil berkenaan.

Menurut Harian Metro Muhammad Adib ialah anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang ditempatkan di balai Subang Jaya.

Dia dikatakan duduk di bahagian penumpang depan kenderaan EMRS dan ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Kenderaan terbabit juga dilaporkan rosak dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu.

Sementara itu Ketua Pengarah JBPM Mohammad Hamdan Wahid berkata Muhammad Adib masih bernafas dengan alat bantuan pernafasan.

Katanya ada kesan lebam pada dada dan abdomen anggota bomba terbabit.

"Kami percatya ia disebabkan tulang rusuknya yang patah dan mencederakan paru-paru dan ususnya," kata Mohammad Hamdan.

Seramai lima doktor pakar sedang merawat Muhammad Adib di ICU hospital terbabit, manakala di luar sejumlah anggota dan pegawai JBPM membaca Yasin untuk mendoakan keselamatan rakan mereka.

Muhammad Adib, 24, berasal dari Kedah dan sepatutnya bernikah bulan depan.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang turut melawat mangsa berkata kerajaan negeri akan menanggung kos rawatan Muhammad Adib.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS