Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

WAWANCARA | Dr Streram Sinnasamy tidak merasakan Mohamad Hasan yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan selama tiga penggal sebagai seorang pemimpin yang popular di dewan undangan negeri (DUN) Rantau. 

Malah, kata Streram, timbalan presiden Umno itu tidak dapat menyelesaikan masalah penduduk setempat di kawasan itu meskipun setelah sekian lama menyandang jawatan sebagai Adun sejak 2004.

"Saya rasa dia tak berapa popular. Dia seorang saja kata dia popular dekat DUN Rantau. Walaupun dia jadi menteri besar 15 tahun, kelengkapan di Rantau tak baik.

"Kita (Rantau) tiada balai bomba dan perkhidmatan ambulans. Baru-baru ini ada banjir di mana ia boleh dielakkan," katanya ketika dalam sesi wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

Tambah Streram, penduduk kawasan Rantau berdepan masalah perparitan sejak pentadbiran BN pada 2016 sehingga menyebabkan banjir.

"Pada 2018 pun teruk. Ada pembangunan yang menghalang sistem perparitan yang tak dapat dielakkan oleh pemaju. Ini adalah antara masalah kerap yang berlaku di Rantau. (Jadi) bagaimana kita boleh kata dia popular?" soalnya.

Selain itu katanya, penduduk setempat merungut apabila terdapat perumahan yang sedang dibina tetapi ia tidak mampu dimiliki penduduk asal kawasan tersebut memandangkan rata-rata penduduk di kawasan tersebut merupakan golongan berpendapatan rendah B40.

Pada beberapa siri pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, Mohamad (gambar) yang lebih dikenali oleh penduduk negeri itu dengan nama Tok Mat mengekalkan kerusinya dengan meraih majoriti besar iaitu 79.3 peratus pada 2004, 63.3 pertaus (2008) dan 63.8 peratus (2013).

Sementara itu, pakar bius dari Pusat Perubatan Nilai itu berkata, beliau akan melawat penduduk di kawasan Rantau hampir setiap hari selepas waktu kerja.

Katanya, beliau yakin boleh menang di kerusi itu selepas memulakan kerja lebih kurang tiga tahun.

"Saya yakin boleh menang kerusi DUN Rantau sebab pekerjaan saya, saya diterima oleh rakyat. Rakyat kaum lain dan Melayu pun, saya ada buat beberapa kenduri dengan orang Melayu dan bergotong-royong.

"Mereka rasa sebagai doktor profesional mereka selesa dengan saya, saya rendah diri untuk bergaul dengan mereka," katanya.

'Umno akan guna sentimen perkauman'

Jelas Streram lagi, jentera kempen PKR sudah bersedia menghadapi taktik Umno yang menurutnya, akan memainkan sentimen perkauman atau agama.

"Ini akan ditimbulkan oleh Umno saja. Sebab nak bertahan, mereka akan timbulkan (isu) dari segi perkauman saja. (Mereka) tak ada idea untuk disampaikan untuk rakyat," katanya.

Streram yang juga merupakan timbalan ketua cabang PKR Rantau mensasarkan untuk meraih sekitar 80 peratus undi daripada pilihan raya kecil di DUN Rantau sekiranya dirinya dicalonkan.

Bagaimanapun, beliau menyatakan kebimbangan jumlah keluar mengundi yang rendah berdasarkan beberapa PRK sebelum ini.

"Saya ada beberapa strategi, kita nak tambah pengundi Melayu untuk sokong Pakatan Harapan (PH). Kalau tengok PRK selalunya jumlah keluar mengundi sangat rendah. Kita sudah dapat lihat di PRK Seri Setia dan Balakong.

"Jadi sekarang kita tumpukan dengan mobilisasi pendungi-pengundi di Seremban dan Kuala Lumpur untuk balik mengundi," katanya.

Untuk rekod, PRK Seri Setia sebelum ini menyaksikan peratusan keluar mengundi sebanyak 44.1 peratus, sementara di Balakong mencatatkan 43 peratus. 

Pada PRU ke-14, Mohamad memenangi DUN Rantau tanpa bertanding selepas Streram dihalang menyerahkan borang pencalonannya.

Bagaimanapun, pada 16 Nov lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya membatalkan kemenangan Mohamad selepas hakim membenarkan petisyen yang difailkan calon Streram.

Khamis lalu, Mohamad dilaporkan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya berkenaan.

Lihat Komen
ADS