Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein berkata Ops Yaman 2 mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 2015.

Hishammuddin membuat kenyataan itu selepas Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong mendedahkan bahawa Ops Yaman 2 diteruskan meskipun tidak mendapat persetujuan kabinet.

Kenyataan Hishammuddin itu dilihat secara tidak langsung mengakui dakwaan Liew.

"MKN. Dia (Timbalan Menteri Pertahanan Liew Chin Tong) kena tahu apakah itu MKN, saya rasa dia tidak tahu bagaimana sesebuah kerajaan berfungsi.

"Saya rasa mereka (Pakatan Harapan) juga tidak tahu jadi menteri," katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

MKN diperkenalkan pada 1971 susulan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 sebagai menggantikan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Pada Ogos 2016, MKN dijadikan akta selepas Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015 diluluskan.

Undang-undang itu memberi kuasa kepada perdana menteri untuk mengisytiharkan "zon keselamatan" dengan, dengan perintah berkurung akan dikuatkuasakan.

Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta itu yang menunjukkan MKN mempunyai kuasa berhubung kerahan tentera di luar negara.

Berdasarkan kronologi perkara itu yang dijelaskan Liew di Dewan Rakyat, Hishammuddin mungkin memohon kebenaran MKN sekitar suku pertama 2015.

Liew dalam kenyataan di Dewan Rakyat sebelum ini mendedahkan bahawa 42 anggota tentera ditugaskan di Riyadh, Arab Saudi pada 6 April 2015 untuk Ops Yaman 1 bagi evakuasi rakyat Malaysia yang berada di Yaman yang ketika itu sedang berlaku konflik perang.

Bagaimanapun, Liew mendedahkan bahawa sejak 11 Jun 2015, anggota tentera Malaysia terlibat dalam misi ketenteraan logistik membantu Pakatan Arab Saudi dalam kempen perang di Yaman. Ia dikenali sebagai Ops Yaman 2.

Liew juga menegaskan bahawa anggota tentera Malaysia yang terlibat tidak dilatih untuk bertempur dalam konflik Yaman.

Untuk rekod, kesemua tentera Malaysia dipanggil pulang sejak September lalu selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan.

Konflik perang di Yaman berlarutan sejak 22 Mac. Konflik itu telah mengorbankan ribuan nyawa.

Untuk rekod, pentadbiran BN sebelum ini menafikan Malaysia terlibat dengan Pakatan Arab Saudi dalam konflik di Yaman, meskipun laporan UN mengatakan sebaliknynya.

Nafi tentera dihantar untuk bertempur

Sementara itu, mengulas lanjut berhubung perkara itu, Hishamuddin berkata beliau bersedia disiasat pihak berkuasa sekiranya tindakannya itu bercanggah dengan peruntukan dalam perlembagaan.

"Jalankan siasatan, ambil tindakan daripada melontarkan dakwaan. Saya tidak takut apa-apa tetapi siasat dengan orang yang betul-betul buat.

"Dia kata ada darah di tangan kita. Dia tak cerita nyawa yang kita selamatkan (dalam Ops Yaman 1).

"Ini semua rahsia negara. Saya profesional tetapi kalau dia betul-betul hendak buat, gunakan agensi di bawah mereka sekarang, untuk dapatkan kebenaran, itu maksud saya," katanya.

Anggota parlimen Sembrong itu turut menafikan tentera yang dihantar dalam Ops Yaman 2 bagi tujuan bertempur.

"Mereka bukan dilatih untuk bertempur, saya katakan di parlimen, mereka ada di sana bukan untuk tugasan aktif, jadi untuk atur arah mereka bertempur dengan Yaman juga mereka tidak terlatih," katanya.

Katanya lagi, dakwaan Liew itu seperti adalah seperti mentaliti pembangkang yang mencari kesalahan kerajaan.

"Jangan cari salah saya, kalau ada salah saya bawa ia ke agensi keselamatan, declassified maklumat rahsia, dan dia akan tahu berapa ramai pelajar yang kita selamatkan di Yaman," katanya yang merujuk pada Ops Yaman 1.

Sementara itu, Liew sewaktu ditemui bagi mendapatkan responsnya berhubung kenyataan Hishammuddin itu, menegaskan setiap keputusan perlu mendapatkan kelulusan kabinet memandangkan terdapat peruntukan yang digunakan kerajaan.

"Ini memang belum diputuskan parlimen atau kabinet. Biasanya keputusan seperti ini perlu diputuskan oleh kabinet. Tetapi isunya ialah keputusan begitu besar melibatkan peruntukan sebanyak RM14 juta dalam tiga tahun.

“Ia seharusnya dibawa ke kabinet kerana melibatkan peruntukan kepada 12 siri ketenteraan (rotation). Ia melibatkan sejumlah besar anggota tentera kita," katanya.

Lihat Komen
ADS