Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Suhakam kecewa tak dibenar berhimpun esok
Diterbitkan:  Dec 7, 2018 1:34 PM
Dikemaskini: 5:34 AM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) kecewa apabila sambutan Hari Hak Asasi Manusia yang sepatutnya berlangsung esok terpaksa ditangguhkan atas nasihat polis.

Pengerusi Suhakam Razali Ismail berkata keputusan itu dibuat polis tanpa memberikan butiran terperinci mengenainya.

Sebaliknya kata Razali polis menyatakan bahawa terdapat risiko keselamatan yang mungkin timbul jika sambutan berkenaan diteruskan.

"Polis Diraja Malaysia tanpa menyatakan butiran terperinci memaklumkan Suhakam dan Pejabat Perdana Menteri (PMO) bahawa terdapat risiko berkaitan dengan keselamatan negara yang berkemungkinan timbul daripada peristiwa yang dijadualkan pada esok hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sambutan Hari Hak Asasi Manusia anjuran Suhakam itu sepatutnya diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijadual menjadi tetamu kehormat.

Bagaimanapun esok juga PAS bersama beberapa pertubuhan lain turut menganjurkan himpunan anti-Icerd di Kuala Lumpur.

PAS menyatakan rasa yakin seramai 500,000 orang akan hadir, termasuk dalam kalangan ahli Umno.


Baca 'Kita tengok siapa lebih ramai Sabtu ini'


Polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sudah memberi kebenaran bersyarat kepada penganjur himpunan tersebut.

Menurut Razali Suhakam juga kecewa kerana kelihatan terpengaruh dengan tekanan yang ada.

"Suhakam kecewa kerana kerajaan yang komited kepada hak asasi manusia seakan-akan terpengaruh dengan taktik tekanan dan ekstremisme sehingga mengakibatkan acara yang telah dirancang sejak beberapa bulan lalu terpaksa ditangguhkan," katanya.

Justeru badan itu memohon maaf kepada orang awam, para jemputan, peserta dan sukarelawan yang terlibat dalam acara ini atas penangguhan tersebut.

Suhakam belum menetapkan tarikh baru untuk mengadakan sambutan berkenaan dan mereka akan mengadakan sidang media untuk memberi penjelasan lanjut pada jam 4 petang ini.

Lihat Komen
ADS