Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata pencapaian ketara parti itu pada pilihan raya umum (PRU) lalu membuang tanggapan bahawa pertubuhan berkenaan tidak terima orang Melayu.
Anggota parlimen Damansara itu memberi contoh, antara pencapaian dilakar DAP ialah di kerusi dewan undangan negeri Dusun Tua di Selangor.
Katanya calon DAP yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan kerusi berkenaan dengan kelebihan lebih 10,000 undi.
"Ahli Jawatankuasa DAP Selangor Edry Faizal Eddy Yusof berjaya tewaskan calon Umno dan PAS dengan undi majoriti lebih 10,000.
"Ini merupakan satu pencapaian ketara kerana menunjukkan DAP boleh menang di kawasan pengundi majoriti Melayu dan dengan itu sekali gus kita boleh buang tanggapan bahawa DAP tak dapat sokongan daripada bangsa Melayu," katanya pada ucapan Konvensyen Biasa DAP Selangor di Petaling Jaya hari ini.
Untuk rekod DUN Dusun Tua mempunyai lebih 49,000 pengundi berdaftar. Daripada itu 63 peratus ialah Melayu, 28 peratus Cina, 7 India dan selebihnya bangsa lain.
Sebelum ini kerusi berkenaan dimenangi Umno sebelum wakil PAS, Razaly Hassan merampasnya pada PRU ke-13 lalu.

Edry Faizal kemudian menjadi calon PH dan merampas kerusi berkenaan dengan kelebihan 10,422 undi mengatasi Razaly dan calon BN, Mohd Zin Isa.
Bangga dengan DAP Selangor
Pua juga berkata beliau sangat bangga dengan pencapaian DAP Selangor apabila semua calon parti yang bertanding di Parlimen dan DUN di negeri itu menang pada PRU 14.
DAP Selangor kini memegang empat kerusi parlimen dan 16 kerusi di Selangor.
"Saya sangat bangga dengan pencapaian DAP Selangor dan juga DAP Kebangsaan.
"Sama ada kita suka atau tidak DAP Selangor pengeksport bakat terbesar," katanya merujuk kepada menteri dan timbalan menteri daripada DAP Selangor.
Beliau yang turut mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Pengerusi DAP Selangor berharap parti di negeri itu akan berusaha menarik lebih ramai golongan muda.
Katanya, DAP perlu terus meraih sokongan rakyat supaya tidak mengikut jejak langkah parti gabungan BN seperti MCA dan Gerakan yang difatkan sebagai 'angkuh'.
"Kita perlu akui ada pemimpin berwibawa (dalam MCA) tapi disebabkan (masalah) politik dalaman MCA - oleh kerana usaha untuk rampas kekayaan, MCA merosot, Gerakan merosot sehingga tak mampu lagi tarik bakat parti.
"Yang kita dapat lihat adalah pemimpin lama dalam MCA. Sebab tu rakyat tolak MCA dan BN," katanya.
