Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendedahan Mujahid boleh bikin Tabung Haji lumpuh - Asyraf
Diterbitkan:  Dec 10, 2018 4:48 PM
Dikemaskini: 8:48 AM

Tindakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa mendedahkan Tabung Haji mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion dibidas Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf berkata kenyataan umum Mujahid itu boleh "mencetuskan panik" dan boleh melumpuhkan institusi Islam yang besar.

"Jika benar pengurusan TH terdahulu telah melakukan tindakan salah kerana membayar dividen secara haram berjumlah RM12.652 bilion sehingga TH kekurangan RM4.1 bilion pada akhir 2017, saya sarankan agar pengurusan TH hari ini menyaman mereka berbanding membuat kenyataan awam yang boleh mencetuskan panik.

"Sejujurnya saya bimbang dengan reaksi pasaran dan pendeposit yang boleh mengeluarkan wang mereka pada bila-bila masa lantaran kurang yakin bahawa TH akan memberikan dividen sebagaimana amalan sebelum ini.

"Jika ini berlaku, TH akan berhadapan dengan krisis besar atau istilah kewangannya ‘bank-run’ yang mampu melumpuhkan sebuah institusi Islam yang besar sumbangannya kepada umat," katanya dalam kenyataan hari ini.

TH langgar dua syarat bayar hibah

Terdahulu hari ini, Mujahid berkata berdasarkan laporan kewangan TH pada 2017, jumlah aset keseluruhan TH ialah sebanyak RM70.3 bilion, manakala liabilitinya pula berjumlah RM74.4 bilion.

Menurut menteri agama lagi, TH melanggar dua syarat pembayaran hibah (dividen) sejak 2014. Kata Mujahid, terdapat dua syarat tersebut merupakan sebelum pembayaran hibah dibuat, aset tidak boleh kurang daripada liabiliti dan perlu terdapat keuntungan yang boleh diagihkan.

Asyraf yang sebelum ini memegang portfolio timbalan menteri di JPM pada era pentadbiran BN, berkata tidak pernah mendengar mengenai hal itu, sebaliknya berkata TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian.

"Sepanjang memegang portfolio timbalan menteri di JPM, saya tidak pernah pula mendengar apa-apa laporan daripada (Jabatan) Audit Negara mahupun audit luar berkenaan dengan isu pemberian dividen sepanjang 4 tahun terdahulu.

"Apatah lagi kuasa Menteri di JPM hanya boleh mengumumkan pemberian dividen setelah disahkan Audit Negara.

"Sedangkan TH tidak pernah dilaporkan mengalami kerugian bahkan setiap wang pendeposit dijamin oleh Kerajaan sebagaimana peruntukan Akta Tabung Haji 1995," katanya. 

Lihat Komen
ADS