Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib mengaku tidak bersalah pinda laporan akhir audit 1MDB
Diterbitkan:  Dec 12, 2018 10:03 AM
Dikemaskini: 3:24 AM


Bekas Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menggunakan jawatannya dengan mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Najib, 65, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Dia didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri Malaysia, menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Anggota Parlimen Pekan itu dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya, antara 22 Feb 2016 dan 26 Feb 2016.

Pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Sesyen benarkan Najib dibebaskan dengan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan perlu dilunaskan hari ini

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya Kanan mengetuai pasukan pendakwaan manakala Najib diwakili barisan pembelaan diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

- Bernama

Lihat Komen
ADS