Paling Popular
Terkini

PULASAN | Kalau ada sesiapa yang menjangkakan hayat Umno semakin hampir ke penghujungnya dengan perkembangan terbaru berlaku di Sabah semalam, mereka ternyata tersilap besar.

Kalau ada sesiapa yang berasakan Umno akan karam dengan perkembangan di mahkamah semalam, mereka tersasar jauh dari realiti.

Kalau ada sesiapa yang melihat Umno akan berdepan masalah lebih besar dengan apa yang diperkatakan semalam, mereka kena sedar bahawa ilmu politik yang ada masih amat dangkal.

Selepas 9 Mei Umno ialah parti yang kukuh. Dari kekuatannya bertambah dari sehari ke sehari. Apa yang berlaku di Kota Kinabalu semalam adalah satu lagi ramuan yang menegapkan parti berkenaan.

Kalau dibaca mengikut bacaan cendekiawan berfikir di luar kotak, Umno sekarang betul-betul berada pada landasan yang sangat tepat untuk ke laut, berlayar dan menjadi sebuah kuasa berpengaruh dalam tempoh yang sangat dekat.

Selagi ada Ahmad Zahid Hamidi dan kawan-kawannya Umno akan tetap bernafas. Itu suatu hakikat yang memang terang dan sekarang lagi disuluh.

Lihat saja bilangan kerusi Umno di Dewan Rakyat. Mereka menguasai 44 kerusi selepas beberapa anggota parlimen Sabah meninggalkan Umno semalam.

Makin kecil makin gagah

Bagi orang yang mengerti ilmu laduni, angka 44 itu memang membawa makna yang besar. Jika ditambah lagi dengan 18, jumlahnya menjadi 62.

Apakah signifikannya angka 62 itu?

Setakat ini belum ada bukti yang kukuh lagi, namun Umno bersama rakan barunya yang menyumbang 18 kerusi tambahan itu tentu tidak ada masalah untuk menyelak kitab-kitab lama bagi mencari dalil dan maksud yang dikehendaki.

Sedangkan asal-usul nama Melayu pun boleh ditemui, apa sangatlah mencari kod rahsia di sebalik angka 62 itu.

Sebenarnya memang menjadi fitrah alam ini, dalam pertempuran semakin kecil kuantiti yang ada semakin besar peluang mereka untuk menang bergaya.

Apa yang penting ialah cita-cita yang besar daripada polikus matang. Bukan seperti menteri-menteri mentah dalam kerajaan sekarang.

Selain mentah Pakatan Harapan juga tidak memiliki "nila" seperti apa yang ada dalam BN sebelum ini.

Apakah signifikannya nila dalam sepak terajang politik negara? Banyak.

Memanglah nila boleh merosakkan susu sebelanga. Tapi nila juga boleh menaikkan seri pakaian. Tambahan pula kalau pakaian itu berwarna putih.

Berjaya bangsa kerana nila

Kalau digubah dengan kreatif, nila - terutama buatan Baling, Kedah - juga boleh menambah seri pada wajah.

Tanggapan bahawa setitik nila boleh merosakkan susu sebelanga juga sebenarnya sekadar metos mengarut ciptaan zaman purba. Buktinya, nila pada zaman ini boleh menjana pendapatan berjuta-juta ringgit.

Tabung Haji adalah buktinya. Sebab itu menteri mentah berkenaan wajar diajar mengenai jasa dan peranan nila pekat dalam belanga tempat menyimpan wang orang Islam yang berhajat untuk mengerjakan haji.

Gambar hiasan

Dalam sejarah bangsa Mala-u juga nila mempunyai tempat istimewa. Di sana dulu pernah ada anak raja yang bernama Sang Nila Utama.

Mengikut khabar yang empunya cerita Sang Nila Utama itu membawa darah Demang Lebar Daun melalui rahim Wan Sendari.

Secara umum dapatlah difahami bahawa ada kaitan di antara bangsa Mala-u dan nila ini. 

Cuma untuk pengesahan pakar-pakar sejarah - dan sesetengah penceramah agama - perlukan sedikit kajian. Membelek-belek kitab lama, misalnya, untuk mencari pencerahan menghubungkan bangsa Melayu dengan nila.


Baca 'Tak wajar pertuduhan TH melalui media oleh menteri mentah'


Justeru sebagai parti yang memperjuangkan bangsa Melayu amat penting para 'nila' itu dipertahankan.

Apabila disebut parti yang memperjuangkan bangsa Melayu di perengan atas, saya tidak mengkhususkannya kepada Umno saja. 

Di luar sana sekarang ada lagi sebuah parti yang seakan-akan Umno, kedengaran semacam Umno. Cuma penampilannya - secara umum - masih malu-malu untuk menjadi Umno.

Akhir kalam, eloklah PH mencari persediaan untuk menjadi lebih mantap. Umno semakin kuat sekarang. PAS pula memang sejak setahun dua ini menjadi king maker yang berkesan.

Kuncinya mudah. Kekalkan Ahmad Zahid dan Abdul Hadi Awang sebagai ketua kabilah masing-masing. 

Jaga nila-nila yang bernilai bak permata dalam parti mereka. PH tidak akan pernah boleh tidur lena.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang sedang mengagumi keunikan nila Melayu.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS