Tidak menghiraukan kenyataan yang didakwa bercanggah berhubung isu laporan Tabung Haji sebelum ini, Mujahid Yusof hari ini mempertahankan kenyataannya dengan hasrat untuk meneruskan pemulihan agensi tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata apa yang penting buat masa ini adalah supaya pendeposit dapat menikmati perkhidmatan yang lebih baik dari TH.
"Macam saya kata, kita (TH) kekalkan dengan rancangan kita dan kita yang penting TH dapat dipulihkan dan pendeposit, serta umat Islam dapat servis yang lebih baik dari kita.
"Selain daripada itu apa yang orang katakan, biasalah. Itu perkara biasa, jadi kita kekal dengan rancangan kita dan kita teruskan dengan TH punya perancangan," katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya berkaitan penjelasan bekas pengerusi TH Abdul Azeez Abdul Rahim berkaitan pendedahan beliau sebelum ini.
Pada 10 Disember, Mujahid berkata TH mengalami defisit RM4.1 bilion dan melanggar syarat pembayaran hibah (dividen) kerana membuat bayaran ketika liabilitinya melebihi aset.
Ia berdasarkan laporan semakan kedudukan kewangan oleh juruaudit bebas dari syarikat Price Waterhouse Coopers (PwC), yang dilantik oleh pengurusan baharu.
Bagaimanapun, sehari selepas itu, Azeez menafikan pelanggaran syarat itu dan mempertahankan TH tidak mengalami defisit, sebaliknya mempunyai lebihan.
Sementara itu, apabila ditanya mengenai sama ada TH akan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu yang melanda agensi tersebut, Mujahid enggan menjawab berhubung perkara itu.
PAS dan Umno menuntut RCI ditubuhkan bagi mencari kebenaran berkenaan kedudukan kewangan TH.
Kuota haji kekal
Dalam perkembangan lain, Mujahid yang baru pulang dari pertemuan dengan kerajaan Arab Saudi berkata kuota jemaah haji dikekalkan seperti sebelum ini iaitu 30,200.
Bagaimanapun, katanya kerajaan Malaysia akan berusaha untuk menambah bilangan kuota tersebut berdasarkan jumlah populasi negara ini yang semakin bertambah dari 30 juta sebelum ini kepada 31 juta.
"Jadi kita akan tunggu reaksi daripada permintaan kita itu," katanya.
